NILAI, 15 Dis. – Senario pendermaan organ kini menunjukkan perubahan yang positif di Malaysia. Ini kerana kita dapat lihat daripada peningkatan kesedaran orang ramai terhadap pendermaan organ, serta peningkatan jumlah penderma dan pengikrar pendermaan organ tahun demi tahun, kata Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Kementerian Kesihatan Malaysia,  Tan Sri Lee Lam Thye pada  majlis perasmian pelancaran organ peringkat Negeri Sembilan pada 15 Disember.

Menurutnya, dengan adanya kempen-kempen kesedaran pendermaan organ yang dijalankan terutamanya kempen menerusi media, ia telah berjaya meningkatkan kesedaran dan mengubah persepsi negatif masyarakat Malaysia sekaligus memberikan respon yang positif terhadap pendermaan organ.
“Saya amat berpuas hati kerana statistik menunjukkan bahawa jumlah pengikrar yang mendaftar bagi tahun ini sahaja sehingga bulan November ialah seramai 25, 719 orang.”

“Berdasarkan kepada statistik dari Pusat Sumber Transplan Nasional, golongan berumur 11 hingga 30 tahun merupakan bilangan pengikrar paling ramai iaitu, 103, 611. Ia suatu yang membanggakan apabila kesedaran di kalangan golongan muda yang tampil mendaftar sebagai pengikrar semakin meningkat pada tahun ini,” tambah beliau.

Saya mengambil peluang di sini untuk menyeru supaya anda semua mendaftar sebagai penderma bagi mereka yang belum lagi mendaftar, ini kerana saya percaya setiap daripada kita terdiri daripada rakyat Malaysia yang prihatin terhadap mereka yang amat memerlukan organ baru untuk meneruskan kehidupan, tambahnya lagi sekaligus merasmikan Roadshow Promosi Pendermaan Organ Siri 4/2011 pada tahun ini.
“Kami menyediakan sebanyak 13 tempat di setiap pusat perubatan di Negeri Sembilan bagi mereka yang ingin mendaftar atau mengetahui maklumat tentang pendermaan organ,” kata Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, Dato’ Ariffin Mohd.

“Saya amat berbangga kerana USIM terpilih sebagai destinasi untuk mengadakan roadshow pada kali ini. Ini kerana, ia bertetapan dengan program tranformasi kepimpinan mahasiswa yang universiti adakan,” kata Timbalan Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Asin Dollah.

“Transplan adalah pembedahan organ yang rosak tahap akhir bagi menggantikan organ yang baru daripada orang lain. Antara organ yang boleh didermakan ialah, jantung, paru-paru, hati, buah pinggang, dan pankreas, manakala tisu pula, injap jantung, tulang, kulit, dan kornea,” kata Ketua Pengurus Klinikal Dan Penyelaras Perolehan Transplan, Datin Dr.  Fadhilah Zowyah Lela Yasmin Mansor

Tambahnya lagi, hanya orang yang mati otak sahaja boleh menderma kerana organ lain memerlukan oksigen.

Beliau juga menerangkan cara untuk menjadi seorang penderma ialah, mengisi borang dan berikrar, serta memberitahu kepada keluarga dan mendapatkan maklumat yang betul.

“Hukum pendermaan organ adalah harus, kerana ia merupakan satu kebajikan kepada orang lain. Dengan adanya teknologi yang canggih pada masa kini, risiko kematian bagi penderma adalah amat nipis iaitu satu per tiga ribu,” menurut beliau lagi.

“Saya mula mengidap penyakit buah pinggang pada 1965, dan ia mengganggu tahap kecergasan dan pergerakan saya dalam melakukan aktiviti seharian. Sehingga terpaksa menjalani dua rawatan iaitu, hemodialisis dan CAPD,” kata salah seorang penerima buah pinggang, En.  Nurizam.

Program yang dimulai dengan acara walkathon 10, 000 langkah ini menjemput Kiran Hot fm sebagai pengacara program tersebut yang merupakan duta kesihatan Malaysia. Acara ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada timbalan naib canselor dan semua warga USIM  di dalam menyokong acara walkathon tersebut.

Roadshow yang pernah diadakan di Melaka, Kedah dan Sarawak ini telah memilih Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan sebagai salah satu destinasi untuk mempromosikan  aktiviti sambutan sekaligus sebagai aktiviti penutup kepada program promosi pendermaan organ siri 4/2011 pada tahun ini.

Oleh: EB EITA SHAFIE dan EB SHIKIN AWAL