Bertandang kali pertama ke Kotaraya Bangkok, Thailand sebagai peserta tunggal Malaysia ke Forum Belia Asia kali ke-13 (AYF’13) membuka peluang indah kepada Fairus Abdul Manaf, Pelajar Program Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menerokai keindahan dan keunikan Bangkok.

Berada seminggu di sana bermula 27 Januari hingga 2 Februari memberi ruang masa yang mencukupi untuk Fairus bersama para peserta lain yang datangnya dari pelbagai Negara seperti Bangladesh, China, Indonesia, Jepun, Itali, Russia , Korea Selatan, Thailand, Mongolia dan Filipina untuk menikmati keistimewaan Bangkok dan sekitarnya.

Setibanya di Bangkok, para peserta ditempatkan di Hotel Ambassador yang terletak di Jalan Sukhumvit 11 Bangkok,Thailand. Terletak di tengah-tengah Kota Bangkok. Kota Bangkok sama seperti Kuala Lumpur, dikelilingi pelbagai bangunan pencakar langit dengan senibina menarik serta sentiasa meriah dengan para pelancong dari luar Negara.

Seperti mana-mana ibu negara yang lain, kesesakan lalu lintas di Bangkok boleh dilihat di mana-mana sahaja. Cuaca di Bangkok juga panas dan lembab, kami selalu dinasihati oleh pihak AYF13 untuk minum air kosong dengan kerap.

Kunjungan pertama adalah Universiti Thammasat yang merupakan universiti yang kedua tertua di Thailand apabila ditubuhkan pada 27 Jun 1934. Ketibaan kami disambut baik oleh pihak universiti serta para pelajarnya. Tarikan semulajadi di Universiti ini ialah ia berdekatan dengan Sungai Chao Phrya dan terdapat bot-bot khas yang menyediakan perkhidmatn river cruise untuk para pelancong menyelusuri sungai ini.

Kami juga berpeluang untuk melawat beberapa tokong di Bangkok. Sebagai negara yang ramai penganut Buddha, tokong menjadi lokasi menarik untuk dilawati dan dilaporkan pada tahun 2005 sahaja, Thailand mempunyai hampir 40,717 buah tokong. Kami telah melawat dua buah tokong yang berbeza iaitu Tokong Wat Po dan Tokong Wat Arun.

Tokong Wat Pho merupakan kuil tertua dan terbesar di Bangkok dan menjadi destinasi wajib dikunjungi kerana memiliki patung Buddha Tidur (Reclining Buddha) terpanjang di Thailand iaitu berukuruan panjang 46 meter dan tingginya 15 meter. Uniknya patong ini ia dibuat dari bata, gips dan lapisan emas manakala pada telapak kakinya dilapisi dengan 108 lakshana (lambang suci Buddha) yand dibuat daripada mutiara.

Kunjungan ke Tokong Wat Arun yang juga dikenali sebagai Temple of The Dawn juga amat menarik. Terdapat satu prang besar dikelilingi oleh 4 prang kecil yang dibina bercirikan seni Khmer. Berbeza dengan kebanyakan tokong yang mempunyai emas, Wat Arun banyak menggunakan warna putih mutiara dengan dekorasi dari kerang dan potongan seramik. Apabila naik ke puncak tokong ini, mereka dapat melihat permandangan bandar Bangkok yang sangat indah dengan sapaan dingin angin sepoi-sepoi bahasa.

Lokasi menarik yang dilawati adalah Pulau Ko Kret yang terletak di tengah Sungai Chao Phraya. Pulau Kret merupakan tempat tinggal etnik Mons yang terkenal dengan industrI seramiknya. Pulau ini menyediakan pelbagai pengisian menarik untuk pelancong antaranya pengunjung boleh menyewa basikal untuk melawat sekitar pulau, kelas membuat pasu seramik, jualan kraftangan yang murah dan tidak lupa juga juadah-juadah yang menarik seperti bunga kering (fried flowers) dan Khanomm, sejenis kuih tradisional Thailand yang dihias begitu cantik.

Apabila melawat dan mengelilingi pulau ini, di sepanjang jalan terdapat banyak gerai gerai yang menjual pelbagai makanan dan juga pakaian. Terdapat juga persembahan tarian tradisional untuk pengunjung yang ingin beristirehat di dewan yang disediakan.

Bak kata pepatah ‘Sambil Menyelam Meminum Air’, kunjungan ke Bangkok kerana menyertai AYF memberi pengalaman baharu merasai sendiri denyut nadi kota Bangkok dan kepelbagaian budaya serta seninya. Sekiranya berpeluang ke Thailand lagi, saya ingin ke Chiang Mai yang terkenal dengan permandangan indah dan kawasan yang pergunungan yang sejuk.

Disediakan oleh :

Fairus Abdul Manaf,

Pelajar Program Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi

Dikemaskini oleh :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204