NILAI, 31 Julai 2021 –  Tahun 2021 melakar satu lagi sejarah baru kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila sebuah Pusat Tanggungjawab (PTj) baru telah diwujudkan di USIM setelah usul penubuhannya diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Universiti pada Disember tahun lalu. PTj yang pada mulanya dinamakan Bahagian Pengurusan Risiko & Integriti, Pematuhan Syariah dan Keselamatan Pekerjaan (BPRIPSKP) ini kini dikenali sebagai Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan dengan akronim Bahasa Inggerisnya iaitu SCIROSH.

Penubuhan PTj ini dilihat selaras dengan hasrat Universiti bagi merealisasikan pembudayaan dan pelaksanaan nilai-nilai utama konsep Kampus Barakah melalui usaha-usaha pengukuhan, pengesanan dan pematuhan aspek pematuhan syariah, integriti, pengurusan risiko dan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Jika sebelum ini pentadbiran dan governan tiga aspek ini terpisah-pisah di bawah PTj yang berbeza, kini pemerkasaan aspek-aspek ini diharapkan lebih efektif apabila diletakkan di bawah satu bumbung PTj yang sama.

Tiga unit utama yang memacu usaha pemerkasaan ketiga-tiga aspek penting ini ialah Seksyen Pematuhan Syariah dan Pentadbiran Am, Seksyen Integriti dan Pengurusan Risiko serta Seksyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Seksyen Pematuhan Syariah bertanggungjawab untuk merancang dan mengawal selia pengurusan isu Syariah USIM merangkumi pembudayaan, pelaksanaan, perekodan, pemantauan dan pelaporan kepada Pengurusan Tertinggi Universiti. Selain itu seksyen ini juga adalah urusetia kepada Mesyuarat Panel Syariah USIM (MPSU) yang dahulunya berada di bawah seliaan Institiut Fatwa Sedunia (INFAD). MPSU yang dianggotai oleh golongan pakar yang dilantik dari kalangan tenaga akademik universiti adalah merupakan entiti penting dan bebas yang akan dirujuk oleh pihak universiti bagi mendapatkan nasihat berkaitan hukum dan pematuhan syariah bagi seluruh aktiviti yang dijalankan di USIM.

Antara fungsi MPSU ialah membantu dan menasihati USIM dalam hal-hal yang berkaitan dengan syariah apabila perlu, meluluskan sesuatu cadangan yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Panel Syariah USIM menepati hukum syarak dan sesuai dipertimbangkan oleh USIM untuk dilaksanakan, meneliti serta memberi pandangan dari sudut hukum syarak ke atas sebarang cadangan yang dikemukakan ke Jawatankuasa Panel Syariah USIM, mencadangkan penambahbaikan serta alternatif ke atas sebarang cadangan yang telah diputuskan sebagai kurang bertepatan dengan kehendak hukum syarak (sekiranya bersesuaian).

Selain itu, MPSU juga berfungsi untuk mengesyorkan sebarang cadangan yang difikirkan sesuai dilaksanakan oleh USIM dalam mencapai matlamat penubuhannya, mengemukakan hujah berupa dalil syari’e bagi menyokong pandangan mengenai sesuatu sekiranya bersesuaian dan yang terakhir menyemak dan mengesahkan dokumen-dokumen, manual-manual, polisi dan garis panduan yang berkaitan yang mengandungi terma dan syarat bagi memastikan produk-produk USIM mematuhi prinsip-prinsip syariah.

Inisiatif ke arah pematuhan Syariah ini sekaligus selaras dengan usaha USIM ke arah menjadi Universiti Patuh Syariah khususnya bagi tujuan mencapai standard patuh syariah MS ISO 1900:2014. Kriteria ini adalah penting untuk diambilkira dalam pengurusan sesebuah institusi Islam seperti USIM. Impak daripada pewujudan MPSU juga  terbukti berkesan dengan ada penyelesaian seperti isu pinjaman kakitangan, kontrak , denda, kehilangan  barangan dan pembentukan dasar dan peraturan yang sentiasa dirujuk terlebih dahulu sebelum ianya dilaksanakan.

Seksyen kedua iaitu Seksyen Integriti dan Pengurusan Risiko bertanggungjawab memastikan elemen peningkatan tahap integriti dalam budaya kerja warga USIM dapat dipertingkatkan selain memastikan aspek pengurusan risiko sentiasa dititikberatkan dalam pelbagai aspek merangkumi pentadbiran dan pelaksanaan dasar-dasar penting di Universiti. Pembudayaan tadbir urus yang baik, pematuhan dan pengesahan isu integriti serta pengurusan aduan yang berkesan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Manakala Seksyen ketiga iaitu Seksyen Keselamatan dan Kesihatan Pekejaan memainkan peranan utama khasnya dalam memastikan tempat kerja yang selamat dan sihat untuk warga USIM dan masyarakat umumnya. Apatah lagi dalam menghadapi budaya kerja norma baharu akibat pandemik covid-19 yang masih belum reda di negara kita.Pihak SCIROSH sentiasa memantau dan memastikan warga kampus khususnya patuh kepada SOP yang ketat  dan mengikuti nasihat daripada Kementerian Kesihatan atau Majlis Keselamatan Negara.

Mengambil kira usia USIM yang sudah menginjak 21 tahun pada tahun ini, maka penubuhan PTj baru ini adalah tepat pada masanya. Ia bagi memastikan USIM berada di landasan yang betul khususnya dalam usaha mencari penyelesaian dan membuat keputusan dan tadbir urus terbaik berasaskan integriti dan patuh syariah. Adalah diharapkan dengan penubuhan PTj ini, segala misi yang digariskan akan tercapai sekaligus menjadikan PTj ini sebagai pusat rujukan setempat dalam pengurusan Pematuhan Syariah, Intergriti, Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di USIM dan Nasional.

 

sumber: Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH) USIM

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan