NILAI – Institut Sosial Malaysia (ISM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH) dan Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) bekerjasama dalam menjayakan Seminar Kasih Semurni Usaha KPWKM@ Training of Trainers (TOT) Antigangguan Seksual yang berlangsung di Dewan Utama Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) pada 29 Oktober 2024 baru-baru ini.

Program Seminar Kasih Semurni Usaha KPWKM @ Training Of Trainers (Tot) Antigangguan Seksual ini merupakan kesinambungan bagi memperkasakan kefahaman dan pengetahuan mengenai Akta Antigangguan Seksual (Akta 840) susulan daripada kursus Training Of Trainers (TOT) Antigangguan Seksual yang dilaksanakan oleh ISM dan dihadiri juga oleh wakil USIM.

YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam ucapan perasmian penutupnya berharap agar kerjasama dan sokongan berterusan daripada semua pihak dapat diteruskan, demi memastikan usaha-usaha advokasi ini mencapai matlamat yang dihasratkan.

“Dengan lebih ramai individu yang celik tentang isu gangguan seksual dan berperanan sebagai ejen perubahan, kita dapat bersama-sama mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan harmoni untuk semua lapisan masyarakat”, ujarnya lagi.

Sementara itu, Prof. Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) dalam ucapan aluannya berkata, menyedari isu berkaitan gangguan seksual adalah antara gejala sosial yang semakin menular di kalangan masyarakat termasuk di Universiti. Isu ini telah mendapat perhatian serius daripada kepimpinan negara dan KPWKM yang bertanggungjawab dalam membantu menangani isu ini.

”Justeru, mengambil pendekatan yang bijaksana dengan melibatkan pihak Universiti dalam pelbagai program advokasi untuk sama-sama membendung gejala ini daripada terus berleluasa amatlah dihargai”, beliau tambah lagi.

Pada program kali ini, dibawakan pembentangan menarik bertajuk Merungkai Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) yang disampaikan oleh Puan Nurshuhaida Zainal Azahar Ketua Seksyen Tuntutan & Perundangan, Tribunal bagi Antigangguan Seksual, KPWKM. Turut dibawakan Tribunal Anti Gangguan Seksual (TAGS) untuk berkongsikan kaedah dan remedi bagi kes-kes gangguan seksual diikuti dengan sesi Forum berkaitan tajuk Gangguan Seksual Dalam Masyarakat. Antara panel yang dijemput adalah Timbalan Naib Canselor USIM sendiri, Profesor Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh Dr Liley Afzani Saidi Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Supritendent Aminah Saad dari Bahagian Siasatan Seksual Wanita & Kanak-kanak (D11), Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman untuk mengupas topik tersebut. Semoga dengan advokasi sebegini dapat meningkatkan kesedaran semua pihak akan isu ini terutamanya tentang remedi yang disediakan oleh pihak KPWKM bagi menangani isu ini.