PORT DICKSON – Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merangkap Komandan PALAPES USIM, Kol (K) Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani telah mengadakan Kunjungan Hormat kepada YBhg. Mej. Jen. Datuk Marzuki Hj. Mokhtar, Panglima Latihan Tentera Darat, di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD), Port Dickson pada 17 November 2025 .
Kunjungan ini diadakan sebagai simbol penghargaan atas jemputan rasmi daripada Panglima Latihan Tentera Darat serta usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara USIM dan MK PLDTD dalam aspek latihan, penyelidikan ketenteraan dan pembangunan modal insan. Ketibaan delegasi USIM disambut mesra oleh YBhg. Mej. Jen. Datuk Marzuki sebelum berlangsungnya sesi perbincangan rasmi yang memberi tumpuan kepada peluang pengiktirafan akademik bagi kursus-kursus latihan di bawah MK PLDTD, pembangunan kompetensi kepimpinan serta pengukuhan latihan melalui sokongan akademik, penyelidikan dan kepakaran universiti.
Dalam pertemuan tersebut, Panglima Latihan Tentera Darat menegaskan bahawa kerjasama dengan USIM mencerminkan hubungan erat antara universiti dan MK PLDTD, selari dengan Perintah Ulung Panglima Latihan Tentera Darat yang menekankan pemerkasaan kepimpinan, kesiapsiagaan dan pembangunan karakter anggota melalui ekosistem latihan yang relevan, sistematik dan berstrategik.
Kunjungan ini juga seiring dengan Amanat Naib Canselor USIM yang menumpukan kepada pembinaan modal insan bersepadu, pemerkasaan nilai dan disiplin menerusi platform latihan, serta usaha memperkaya hubungan strategik antara universiti dan institusi pertahanan negara. Melalui sinergi ini, kedua-dua pihak berpotensi untuk mengembangkan kerjasama yang lebih menyeluruh melibatkan akademik, latihan profesional, penyelidikan dan pembangunan kepimpinan.
Dalam sesi yang sama, delegasi turut berpeluang menyertai latihan menembak pistol di Lapangsasar 25 meter Akademi Tentera Darat (ATD), melibatkan YBhg. Datuk, pegawai kanan MK PLDTD serta wakil USIM sebagai platform simbolik latihan ketenteraan dan pengukuhan hubungan profesional. Delegasi diberikan taklimat keselamatan serta demonstrasi pengendalian senjata sebelum menyertai sesi latihan menembak bersama Panglima Latihan Tentera Darat. Majlis turut diserikan dengan penyampaian cenderahati sebagai tanda apresiasi dan komitmen terhadap kesinambungan kerjasama dua hala.
Kunjungan hormat ini diharap menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih kukuh antara USIM dan MK PLDTD, khususnya dalam bidang latihan, pengiktirafan akademik, pembangunan kepimpinan serta penyelidikan ketenteraan, demi melahirkan modal insan yang berwibawa, profesional dan berintegriti.
Turut hadir ialah Lt. Kol. Rozaimi bin Kamarudin (Timbalan Komandan), Mej. Noor Efendy bin Hj. Samih (Ketua Jurulatih) dan Mohd Saifullah Zulkapli (Pegawai Khas).



