NILAI, 27 Disember 2019 – Seramai kira-kira 300 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berhimpun secara aman selepas solat Jumaat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz USIM dalam Himpunan Bangkit Pertahan Tulisan Jawi sebentar tadi.
Himpunan ini adalah atas inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM dan digerakkan bersama-sama badan dan persatuan pelajar kampus antaranya Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia, Sekretariat Pusat Islam, Sahabat Yadim, Sinergi Mahasiswa Islam dan Jawatankuasa Kebajikan Siswa Siswi Kolej Kediaman (JAKSA) Satu dan JAKSA Nilam Court.
Mereka berhimpun sebagai tanda solidariti mengecam tindak-tanduk pihak yang terus menerus membantah pelaksanaan pembelajaran pengenalan tulisan jawi di sekolah vernacular dan memperlekehkan seni warisan tulisan jawi. Beberapa ucapan turut disampaikan semasa himpunan ini selain para peserta himpunan turut membawa plakad yang tertera gesaan dan kecamanan antaranya “Hormati Perlembagaan”; “Jangan Biadap”; “Pertahankan Jawi” dan “Jangan Cabar Orang Melayu”
Yang Di-Pertua MPP USIM Muhammad Danial Akmal Hamdan dalam satu kenyataan menyatakan bahawa MPP USIM mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sebuah gabungan pertubuhan bangsa cina iaitu Dong Jiao Zong yang merancang untuk mengadakan persidangan bagi membantah pelajaran pengenalan jawi & tulisan khat di sekolah vernakular terutamanya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) pada esok hari .
“Andai tiada halangan untuk pelajaran bahasa Mandarin, mengapa pelajaran tulisan Jawi perlu dihalang sedangkan ia merupakan sebahagian daripada bahasa Melayu? Mereka melaungkan hak kesamarataan kaum dan keadilan tetapi mereka sendiri yang melanggarnya. Hal ini tidak ubah seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus”.
“Ini adalah negara Malaysia yang mementingkan keharmonian dan asimilasi kaum. Kami menggesa pihak yang berautoriti untuk mengambil tindakan terhadap penganjur persidangan ini andai ia dilaksanakan juga”
Beliau turut menegaskan MPP USIM berpendirian pelajaran pengenalan tulisan jawi dan khat adalah bertepatan dengan pembinaan identiti nasional negara selaras dengan Akta Bahasa Kebangsaan Perkara 9 yang menyatakan “tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan ialah rumi dengan syarat tidak melarang tulisan Melayu yang juga dikenali dengan tulisan Jawi dalam bahasa kebangsaan”.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad beberapa hari lalu telah memberi reaksi bahawa penganjuran kongres oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bagi membantah pengenalan pembelajaran jawi di sekolah vernakular boleh mencetuskan kekacauan. Malahan Perdana Menteri turut menyuarakan rasa bimbang tindakan Dong Zong itu akan menyebabkan pihak tertentu bertindak balas.
Sementara itu Dong Zong mengulangi pendirian akan meneruskan persidangan isu tulisan jawi di sekolah vernakular yang dijadualkan berlangsung di Kolej New Era, Kajang dengan lebih 100 pertubuhan Cina di seluruh negara menyatakan persetujuan untuk hadir.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan