NILAI-Persis tukang gunting rambut berpengalaman, tiga orang siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) lincah dan cekap menggunting rambut anak-anak komuniti yang tinggal berdekatan kampus. Mereka menyumbang kemahiran yang dimiliki sempena penganjuran Program Kembali ke Sekolah ‘Gunting Rambut Rahmah’ anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Desa Kolej dengan kerjasama Sekretariat Pelajar Luar Kampus (OCSS) USIM yang diadakan pada baru-baru ini.
Tiga orang siswa USIM berkenaan adalah Muhammad Naqieuddin Md Jeffren (Sarjana Muda Sains Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, Fakulti Sains dan Teknologi); Mohammad Fairos Mohd Hasnizam (Sarjana Muda Pengajian Sunnah dengan Pengurusan Maklumat, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah); dan Muhammad Danish Husiani Pahpuraji@Pahpurazi (Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, Fakulti Syariah dan Undang-undang).
Program yang dianjurkan bermula jam 2.00 hingga 5.00 petang pada 13 Februari lalu bertempat di Padang Permainan Desa Kolej mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari ibu-bapa yang menghantar anak masing-masing untuk mendapatkan khidmat gunting rambut dengan bayaran serendah RM5.00 sahaja.
Seramai 23 orang anak-anak menyertai program ini yang terdiri dari seawal tadika sehingga kepada pelajar sekolah menengah. Menurut Muhammad Naqieuddin, penglibatan beliau bersama rakan-rakan lain dalam program ini memberi pengalaman yang menarik kerana dapat menyantuni komuniti dengan lebih dekat.
“Terima kasih kepada KRT Desa Kolej buka ruang ini kepada kami untuk menyumbang kemahiran kepada masyarakat. Pada masa yang sama, program ini secara tidak langsung membolehkan kami menyantuni masyarakat dari pelbagai golongan umur secara santai” ujar Naqieuddin.
Pengetua Luar Kampus USIM, Dr. Haji Sulaiman Ismail menyifatkan kerjasama program antara OCSS bersama KRT dan persatuan penduduk seperti ini amat baik kerana ia akan menaikkan visibility (keterlihatan) universiti pada komuniti. Pada masa yang sama penglibatan pelajar USIM secara langsung akan memberi impak yang positif terhadap kedua-dua belah pihak, ujarnya lagi.
Program berkenaan turut dihadiri Pengerusi KRT Desa Kolej, Encik Mohd Herman Bin Hassan; Pengerusi Persatuan Penduduk Desa Kolej, Encik Kamarul Hisam Mustafa; dan wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Balai Bomba Nilai dan Balai Bomba Mantin.
Oleh: Mohd Zaini Othman