NILAI, 31 Jan – Pelajar program Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Saudari Fairus Abdul Manaf, 22 menjadi wakil tunggal Malaysia yang menyertai Asian Youth Forum kali Ke-13 (AYF ’13) di Bangkok Thailand bermula 27 Januari lalu hingga 2 Februari ini.
Beliau bersama-sama 67 orang peserta lain yang mewakili pelbagai negara seperti Bangladesh, China, Indonesia, Japan, Italy, Rusia, Korea Selatan,Thailand, Mongolia dan Filipina akan mengikuti pelbagai pengisian yang diatur sepanjang berada di sana. AYF ini merupakan program tahunan peringkat antarabangsa yang menyasarkan pelajar university dan remaja telah diasaskan oleh Profesor Kip Cates dari Universiti Tottori, Japan pada tahun 1999.
Penganjuran AYF saban tahun bertujuan untuk menghimpunkan para pelajar Intitusi Pengajian Tinggi di Asia khususnya dalam satu konvensyen antarabangsa sebagai satu platform untuk para peserta saling bertukar dan berkongsi idea, pandangan dan pemikiran berkaitan isu budaya, bahasa, kepimpinan, sosial dan global.
Sepanjang Forum Belia Asia ini juga, para peserta digalakkan untuk berkomunikasi antara satu sama lain melalui bahasa Inggeris. Melaluinya, pelbagai perspektif baharu dalam menghadapi dan menyelesaikan cabaran dunia masa kini dapat ditonjolkan secara berkesan.
Fairus ketika dihubungi melahirkan perasaan teruja beliau dapat bersama-sama dengan pelajar Universiti dari pelbagai negara. “Menurut penganjur, terdapat beberapa permohonan dari Malaysia untuk menjadi peserta AYF kali ini, tetapi selepas senarai pendek dikeluarkan, hanya saya seorang sahaja dipilih”.
“Terima kasih kepada Universiti khususnya USIM Alammiyah atas peluang yang diberikan. Ini satu tanggungjawab besar bagi saya dan Alhamdulillah, ketika sesi pembentangan mengenai keunikan Malaysia, ia berjalan lancar dan mendapat respon positif para hadirin”.
“Kami diberi peluang untuk berbincang dan bekerjasama dalam pelbagai aktiviti yang memupuk semangat kerja berpasukan dan saling bantu-membantu selain terlibat dalam sesi berbentuk akademik, bengkel, mendengar ucaptama dari tokoh terkemuka dan sesi forum terbuka” ujarnya.
Penganjuran AYF mendapat kerjasama beberapa organisasi seperti Japan Association for Languange Teaching (JALT), Thai TESOI, Far Eastern English Language Teachers Association (FEELTA), Philipine Association of Language Teachers (PALT), Bangladesh English Language Teachers Association (BELTA) dan KoTESOL.
Antara bandaraya yang pernah menjadi tuan rumah penganjuran AYF sebelum ini adalah Seoul, Korea Selatan; Kokura dan Tokyo, Jepun; Taipei, Taiwan; Vladivostok, Rusia; dan Manila, Filipina.
Disediakan oleh :
Zaini Othman
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204