NILAI, 9 DIS 2014 – Seminar Media dan Dakwah (SMED2014) anjuran Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diadakan bermula 9 hingga 10 Disember berlangsung dengan jayanya.Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Yahya Mohamed Ariffin, selaku Pengarah program dan tetamu jemputan khas sebagai ucaptama YBhg. Datuk Chamil Wariya, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute yang juga Karyawan Tamu program komunikasi USIM.

Bertemakan “Dakwah Media Baharu: Cabaran dan Masa Hadapan”, seminar ini membincang dan mengupas isu-isu baharu yang berkait rapat dengan komunikasi, media dan dakwah. Sebanyak lebih 50 kertas kerja yang dibentangkan yang terdiri dari pelbagai IPTA seperti UM, UKM, UUM DAN USM.

Ia turut melibatkan tenaga pengajar, pelajar dan agensi luar bagi menyuarakan pandangan dan merenung cabaran dan peluang yang disediakan oleh media terutamanya media baharu seperti facebook, twitter sebagai platform menyampaikan maklumat mengenai Islam.

Prof. Madya Dr. Yahya dalam ucapannya berkata, seminar SMED ini  memberi pendedahan terbaik dan mengangkat prinsip dan konsep komunikasi Islam yang menjadi bidang tujahan utama kepada pelajar-pelajar program komunikasi USIM khususnya dalam meningkatkan pengetahuan berkaitan komunikasi media. Hal ini selari dengan visi dan misi USIM iaitu mempelopori integrasi ilmu Naqli dan Aqli.

“Keunikan latar belakang pelajar USIM adalah mereka yang rata-ratanya datang dari aliran pendidikan agama, justeru diharap graduan komunikasi yang lahir dari USIM ini adalah pelajar yang mantap dalam akademik dan baik dalam akhlaknya jua”, jelas Prof Yahya.

Secara kesimpulan, seminar ini diharapkan menjadi ruang interaksi dan integrasi antara bidang dakwah, media dan komunikasi serta mampu mencetuskan inspirasi kepada bidang penyelidikan baharu untuk setiap disiplin yang berkaitan. Selain itu, seminar ini diharap memberi peluang kepada para peserta dari pelbagai bidang berkaitan untuk melibatkan diri secara teori, meneroka, menilai, mengkaji semula peluang dan kesan media dan dakwah kepada masyarakat tempatan dan global.

Disediakan oleh :

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204