Bandar Baru Nilai, 21 Jun 2011 – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Irshad, Pulau Pinang muncul juara Debat Bahasa Arab Peringkat Kebangsaan 2011 yang diadakan di Stadium Tertutup Nilai hari ini.

Kumpulan debat SMKA Al-Irshad dinobatkan sebagai johan selepas menewaskan pencabar terdekat dari Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Negeri Sembilan pada pertandingan peringkat akhir. Kejayaan itu membolehkan pasukan SMKA Al-Irshad membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, buku tajaan Utusan Publication, Berita Publishing dan PTS Publication termasuk piala pendebat, piala iringan dan piala pusingan, sijil penghargaan dan penyertaan serta kamus elektronik Besta setiap seorang.

Naib johan pula membawa pulang wang tunai RM1,000, buku, piala pendebat, piala iringan serta sijil penghargaan dan penyertaan. Hadiah disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor. Dato’ Dr. Muhamad Muda. Debat anjuran Bahagian Pendidkan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama USIM ini merupakan penganjuran kali yang keempat yang menyaksikan penyertaan sebanyak 50 buah sekolah yang bertanding.

Lebih membanggakan SMKA Al-Irshad apabila ketua kumpulan, Mohamad Ikmal Hakimi Mohamad Helmi, 17, dipilih sebagai pendebat terbaik pertandingan tersebut. Untuk itu, Mohamad Ikmal menggondol hadiah wang tunai RM500, piala pendebat terbaik dan sijil. Menurut Mohamad Ikmal, dia amat gembira dan bersyukur atas kejayaan tersebut kerana tidak menyangka terpilih sebagai pendebat terbaik dalam pertandingan tersebut. “Ini merupakan kali kedua saya menyertai pertandingan ini, tahun lalu kami sekadar layak untuk ke peringkat separuh akhir. Namun tahun ini kami bernasib baik dapat ke peringkat akhir dan lebih menggembirakan saya apabila kumpulan kami diumumkan sebagai juara,” katanya yang mempelajari bahasa Arab sejak tahun satu. Jelas Mohamad Ikmal, pertandingan itu perlu diteruskan dalam usaha menjadikan ia sebagai landasan menguji keupayaan pelajar dalam menguasai bahasa tersebut. “Bahasa Arab unik dan mencabar untuk dikuasai kerana satu perkataan boleh dikembangkan menjadi pelbagai maksud, ia sangat kompleks untuk dipelajari berbanding bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris,” ujarnya.

Sementara itu, ketua pasukan debat SMAP Labu, Muhamad Harith Zulkifli, 17, berkata, dia bersama ahli kumpulannya tetap bersyukur walaupun mendapat tempat kedua dalam pertandingan itu. “Kami tidak sangka dapat sampai ke peringkat ini. Saya amat menghargai usaha gigih serta kerjasama yang diberikan oleh ahli kumpulan yang lain,” katanya yang menjadi kumpulan pembangkang untuk berbahas dalam tajuk, Laman Web Sosial Membina Sahsiah Remaja.

Oleh:

Khairul Azizi Elias
Seksyen Hubungan Media dan Publisiti
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia