NILAI, 11 Mei – Seramai 1400 orang pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyertai Seminar dan Pameran Produk Kreatif 2013 (SPARK 2013) yang berlangsung baru-baru ini di Pusat Komersil USIM.

Penganjuran pameran ini adalah untuk memperkasakan para pelajar untuk menguasai dan mendalami cabang kreativiti dan inovasi dengan lebih berkesan. Pameran ini menerapkan elemen amali dan ini dapat meningkatkan kefahaman mereka berkaitan konsep pemikiran kreatif dan kritis dalam menyelesaikan masalah.

SPARK 2013 telah memasuki tahun ke-3 penganjurannya oleh Universiti. Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Pengajian Teras (PPT), YBhg. Prof. Madya Paimah Atoma selaku Jabatan yang bertanggungjawab menganjurkan SPARK ini setiap tahun. Turut hadir, Timbalan Pengarah PPT, YBhg. Dr. Zainur Rijal Abd.Razak.

Menurut Pengarah Program SPARK 2013, Puan Anita Binti Ismail, objektif penganjuran program ini telah tercapai yang bertemakan “Blue Ocean in Islamic Creativity”.

“Penganjur melihat tema ini telah berjaya diadaptasikan oleh para peserta dalam menonjolkan penguasaan mereka melalui penghasilan produk yang kreatif dan berinovasi yang menerapkan unsur-unsur Islamik dengan baik”.

“Saya berharap para peserta yang telah berjaya memenangi pertandingan bagi setiap kategori tersebut memasarkan produk mereka ke pasaran luar untuk kebaikan masyarakat” katanya.

Secara keseluruhannya, pameran produk kreativiti pelajar ini terbahagi kepada lima kategori iaitu Sains dan Teknologi, Seni dan Reka Cipta, Sains Sosial dan Human Life, Makanan dan Minuman serta Ekonomi dan Muamalat. Kesemua produk dalam kategori ini dinilai dari sudut produk yang kreatif dan menerapkkan elemen Islamik di dalamnya.

PPT selaku pihak penganjur juga berharap pada edisi akan datang, penganjuran SPARK ini akan  lebih meriah melalui jalinan kerjasama dengan pihak luar seperti Rakan Industri dan Agensi Kerajaan supaya lebih banyak pihak khususnya masyarakat setempat mendapat pendedahan mengenai program ini dengan lebih meluas.

Disediakan oleh :
Ejen Berita USIM (EB Qyra dan EB Zaradah)

Disunting oleh :
Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)