NILAI, 10 Jul 2014 – Bubur lambuk merupakan salah satu menu yang sinonim di bulan Ramadan untuk dijadikan juadah berbuka puasa.Kakitangan Bahagian Keselamatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengekalkan tradisi penyediaan dan agihan bubur lambuk untuk diagihkan kepada warga USIM sepanjang bulan Ramadan ini sejak dimulakan pada tahun 2009.

Bubur lambuk ini disediakan secara gotong-royong oleh kakitangan keselamatan USIM bermula dari penyediaan bahan mentah sehinggalah kepada proses memasak, membungkus dan edaran. Penyediaan juadah yang amat diminati dan dinanti warga USIM setiap kali bulan puasa ini, diketuai oleh Encik Marhaban Morliorjo, kakitangan Unit KeselamatanTrafik USIM dengan dibantu 6 orang rakannya yang lain.

Menurut Marhaban, penyediaan bahan mentah disediakan pada waktu malam manakala mereka akan mula memasak mulai jam 8.00 pagi yang mengambil masa 3 jam untuk masak sepenuhnya. Sekurang-kurangnya sebanyak dua periuk besar digunakan untuk menyediakan sekitar 1000 bungkusan yang mula diedarkan pada jam 4.30 petang.

“Menggunakan resipi turun-temurun, keistimewaan bubur lambuk kami ini adalah pada keenakan rasa rempah-ratusnya dan daging lembu segar yang banyak kita masukkan. Kos bagi penyediaan bubur lambuk adalah sekitar RM 500 bagi satu kawah besar”

“Alhamdulillah, saban tahun kos ini ditampung oleh kakitangan yang membuat sumbangan wang tunai secara individu mahupun berkumpulan kepada kami. Pengurusan Universiti juga menggemarinya dan turut membantu ketika edaran dibuat pada kakitangan”  katanya lagi.

Bagi Ketua Bahagian Keselamatan USIM, Kpt (B) Abdul Wahab Mat Zin, komitmen yang ditunjukkan oleh kakitangannya amat terpuji kerana proses penyediaan ini dibuat secara sukarela oleh mereka. Pada tahun ini, Bahagian Keselamatan bekerjasama dengan Pusat Islam USIM untuk menjadikan penyediaan bubur lambuk ini sebagai salah-satu bentuk aktiviti ibadah dalam mengimarahkan keberkatan Ramadan di dalam kampus.

Selain daripada itu, beliau turut berkongsi perkembangan terbaru apabila Pengurusan Universiti baru-baru ini telah bersetuju untuk mentransformasikan skim perkhidmatan kakitangan keselamatan USIM sebagai Polis Bantuan.

“Kita kini memerlukan kelulusan di peringkat Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ia boleh dilaksanakan sepenuhnya. Kakitangan keselamatan kelak perlu mengikuti pelbagai latihan secara berperingkat di bawah PDRM dan jangkaan kita pada 2015 kumpulan pertama Polis Bantuan ini akan mula bertugas.”

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar Stracomm