SEREMBAN – Semangat kesukarelawanan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus terserlah apabila ahli kelab StraComm Clique berganding bahu menjayakan misi pembungkusan pek bantuan Ramadhan bersama Yayasan Munarah di pejabat yayasan berkenaan pada 12 Februari 2026.
Sebanyak 450 pek bantuan Ramadhan berjaya disiapkan dalam program tersebut, merangkumi 300 pek sumbangan Yayasan Munarah serta tambahan 150 pek daripada dua syarikat luar yang turut menyumbang. Pek bantuan ini akan diagihkan kepada penerima terpilih dalam kalangan penduduk Negeri Sembilan yang memerlukan.
Sasaran penerima bukan sahaja terdiri daripada golongan asnaf, malah turut melibatkan pelajar sekolah serta penuntut diploma dan ijazah yang berdepan kekangan kewangan, bagi memastikan mereka dapat menyambut bulan Ramadhan dalam keadaan lebih terjamin dan bermakna.
Pengurus Yayasan Munarah, Puan Amalina Zulkifli, 42, yang telah berkhidmat selama 15 tahun bersama yayasan tersebut, menyifatkan penyertaan StraComm Clique sebagai kesinambungan hubungan baik yang pernah terjalin antara USIM dan yayasan sebelum ini.
Menurut beliau, kerjasama seperti ini pernah berlangsung lima tahun lalu ketika misi pembersihan banjir di Sungai Timun, dan kehadiran mahasiswa USIM kali ini sekali lagi membuktikan komitmen mereka dalam kerja-kerja kemasyarakatan.
“Tenaga kerja pelajar USIM hari ini amat membantu melancarkan proses penyediaan barangan sebelum diagihkan. Kerja pembungkusan yang memerlukan ketelitian dan kecekapan dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Yayasan Munarah mengamalkan kaedah pengagihan bantuan secara terus kepada penerima tanpa orang tengah, bagi memastikan bantuan sampai tepat kepada golongan sasaran. Penerima yang tinggal berhampiran juga diberi kemudahan untuk hadir sendiri ke pejabat yayasan bagi mengambil bantuan yang disediakan.
Tradisi menyantuni masyarakat ini telah bermula sejak yayasan tersebut beroperasi pada tahun 2011. Sumbangan pertama ketika itu disempurnakan sendiri oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud di Kuala Pilah, sekali gus menandakan komitmen berterusan yayasan dalam membantu masyarakat setempat.
Melihat komitmen dan kesungguhan ahli StraComm Clique sepanjang program berlangsung, pihak yayasan menzahirkan harapan agar kolaborasi strategik ini dapat diteruskan pada masa hadapan. Antara program terdekat yang dirancang ialah “Kem Kembara Ilmu Yayasan Munarah”, iaitu program dua hari satu malam yang memerlukan penglibatan mahasiswa USIM sebagai fasilitator bagi membimbing para pelajar.
Puan Amalina turut berharap agar sinergi antara USIM dan Yayasan Munarah yang ditubuhkan pada tahun 2010 ini akan terus diperkukuh, sekali gus memperluas manfaat kepada komuniti yang memerlukan.
Program ini mencerminkan komitmen USIM dalam memaknakan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan sosial, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat.
Oleh: Omar Mukhtar Hishamuddin, Nur Khadija Sulaiman


