THAILAND, 5 OKT 2016 – Bertemakan ‘Toleransi Nabawi Dalam Kepelbagaian Bangsa’, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Seminar Warisan Nabawi kali ke-5 peringkat Antarabangsa buat  buat julung kalinya diadakan di luar negara dengan kerjasama Universiti Fatoni, Thailand dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Seminar yang berlangsung pada 4 hingga 5 Oktober 2016 di Universiti Fatoni, Thailand ini menyaksikan seramai 70 pembentang dari pelbagai bidang dan negara membentangkan kertas kerja mereka antaranya dari Kuwait, Sudan, Indonesia, Thailand dan Malaysia dan dirasmikan oleh Raja Muda Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Syed Sirajuddin Jamalullail,

Persidangan ini bertujuan menghimpunkan para cendekiawan untuk membincangkan isu berkaitan Sunnah dan fungsinya sebagai asas toleransi demi kesejahteraan umat seluruhnya. Ia turut bagi menjernihkan pandangan orang luar terhadap tohmahan yang dilempar terhadap Islam yang dikatakan menaja keganasan. Diharapkan dengan berlangsungnya seminar ini, idea-idea yang bernas serta penemuan-penemuan yang bermanfaat dapat dijana dan dibincangkan demi menzahirkan kehebatan Sunnah sebagai sumber asas toleransi dan kesejahteraan.

Antara lain objektifnya adalah mengemukakan hasil kajian terbaru yang berkaitan Sunnah dan kesejahteraan, meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap Sunnah, serta memartabatkan Sunnah sebagai asas kesejahteraan dan toleransi terhadap umat.

“Kita sentiasa berusaha membentuk hubungan dengan pihak institusi pengajian tinggi dan institusi lain untuk sama-sama berganding ilmu, kepakaran, pengalaman dan tenaga bagi merealisasikan peranan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi. Mengembeling tenaga mencari solusi kepada permasalahan yang melanda umat manusia di era ini”, ucap Prof Dr. Zulkiple Abd Ghani, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM.

“Kami di USIM akan terus memperjuangkan keutuhan agama Allah SWT yang disampaikan oleh utusanNya dengan mempromosikan integrasi Ilmu Naqli dan Aqli. Suatu konsep yang memapar dan mengenegahkan bahawa ilmu yang dianggap sebagai ilmu dunawi sebenarnya memiliki asas dalam agama. Kita berusaha menintegrasikan kedua-dua cabang ilmu akhirat dan ilmu dunia bagi mendidik generasi yang lebih cemerlang dan mempraktikkan agama dalam seluruh kehidupan mereka”,tambahnya lagi.

Ucaptama disampaikan oleh Penolong Prof. Dr Ismail Lutfi Japakiya,Rektor Universiti Fatoni, Thailand,dan pembentangan kertas kerja jemputan oleh S.S Prof. Madya Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin,Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Prof. Madya. Dr. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif,  dan Prof. Madya Dr. Najm Abdul Rahman Khalaf Pensyarah dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.

Program ini turut mendapat tajaan dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kumpulan Media Karangkraf, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Malaysian Electronic Payment System (MEPS),

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204