NILAI, 14 Mac 2019 – Pada majlis bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia pada 14 Mac 2019, Profesor Dato Dr Siddiq Hj Fadzil menyampaikan syarahan bertajuk ’Memaknai Sebuah Universiti: Pengutuhan dan Pemberdayaan Insan’.

Dihadiri lebih 400 ratus tetamu yang memenuhi ruang di Dewan Kuliah Pusat 3, hujah demi hujah disampaikan berkenaan isu-isu peminggiran universiti yang dihadapi oleh beberapa universiti ternama seperti universiti Harvard dan universiti al-Azhar.

Dato Siddiq menyimpulkan universiti Harvard telah kehilangan roh dalam pengertian kehilangan kompas moral-intelektual dan telah kehilangan misi kependidikan yang sebenar, petikan dari buku Excellence Without A Soul dari Harry R. Lewis.

Manakala petikan dari Risalat al-Azhar bayna al-Ams wa al-Yawm wa al-Ghadd  menyatakan, untuk menjadikan universiti al-Azhar sebuah institusi keilmuan yang relevan dengan zaman yang berubah, al-Qaradawiy menyarankan pembaharuan kurikulum. Ilmu-ilmu seperti fiqh dan usulu ‘d-din misalnya perlu dikemaskini dengan menggugurkan isu-isu lama yang sudah tidak relevan lagi, dan digantikan dengan isu-isu kontemporari untuk memungkinkannya menjawab persoalan-persoalan masa kini. Pengemaskinian kurikulum adalah bahagian daripada tajdid, suatu kekuatan yang dapat menjamin kerelevanan Islam untuk sepanjang zaman dan setiap tempat.

Dari masa ke masa kita menyaksikan penubuhan universiti Islam. Universiti-universiti Islam tersebut mungkin sangat cemerlang dalam bidang pengajian perundangan Islam dan bahasa Arab. Bagaimanapun rata-rata masih gagal menangkap dan menyerap semangat tamadun keilmuan Islam secara utuh. Kerana itu universiti Islam sering kali gagal menjadi agen tajdid hadariy (pembaharuan ketamadunan).

Universiti Islam hari ini rata-rata tumbuh di tengah timbunan masalah, khususnya masalah epistemologi. Di balik ungkapan “Integrasi naqli-aqli” misalnya, tersirat masalah keilmuan yang sangat mendasar, iaitu pemecahan ilmu dan kehilangan hierarki ilmu. Masalah ini seterusnya berhujung dengan konflik antara pelbagai disiplin ilmu, malah telah lahir ilmu yang terlepas dari kendali, lalu mengundang bahaya kepada manusia dan alam sekitarnya.

Ilmu adalah kebenaran yang merupakan puncak pencarian para ilmuwan. Tidak ada yang lebih berharga dan lebih indah daripada kebenaran. Untuk mencapai kebenaran diperlukan metodologi yang benar sesuai dengan objek penelitian.

Epistemologi holistik-tawhidik adalah keperluan yang amat mendesak untuk mentransformasikan alam keilmuan kita kembali bersepadu, tertib, seimbang dan harmoni. Justeru, semua ilmu akhirnya harus bertemu dan menyatu pada paksi keesaan Tuhan.

Untuk mengembalikan integrasi ilmu berpaksikan epistemologi tawhidik, semua ilmu harus sejalan dengan maqasid al-shari`ah dalam pengertian dan liputannya yang kemaskini. Memang maqasid al-shari`ah perlu diungkapkan semula dalam bahasa masa kini dan liputan yang merangkumi keperluan masyarakat kontemporari, termasuk maqasid kebebasan, keadilan, persamaan dan hak asasi manusia. Maqasid yang diungkapkan dalam tradisi keilmuan Islam sebagai hifz al-nafs (memelihara jiwa) perlu diperjelas dengan bahasa masa kini, tidak hanya sekadar melindungi nyawa, tetapi jaminan kualiti hidup. Untuk itu maqasid al-shari`ah harus meliputi hifz al-bi’ah (pemeliharaan alam sekitar).

Semua ilmu yang terintegrasi dengan maqasid al-shari`ah termasuk ilmu kejuruteraan dan ilmu sains keseluruhannya harus bersemangat mesra lingkungan, semangat memelihara alam sekitar sebagai amanah Tuhan untuk dimanfaatkan dan sekali gus dihormati sebagai makhluk yang memiliki nilai kekudusannya sendiri (the sacred value of nature).

Kejayaan sebuah universiti tidak boleh diukur hanya dari segi sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi. Ukuran yang lebih penting ialah kemampuannya membina kualiti manusia, iaitu manusia yang utuh – berotak dan berwatak.

Untuk itu para anak didik harus diberi pengalaman pendidikan tinggi, bukan sekadar pengalaman masuk universiti. Pendidikan untuk pengutuhan insan harus didukung dengan ilmu-ilmu yang memanusiakan manusia.

Yang harus lahir dari universiti bukan hanya seorang jurutera, seorang doktor atau seorang arkitek, tetapi lebih daripada itu ialah seorang manusia utuh yang tahu berkomunikasi dan bermasyarakat. Kerana itu setiap graduan yang telah mendapat pengalaman pendidikan tinggi universiti, tidak hanya menerima ijazah bidang pengkhususan masing-masing, tetapi lebih daripada itu ia menjadi manusia yang lebih baik.

Isu membina manusia yang lebih baik harus diberi penekanan, khususnya dalam konteks Revolusi Perindustrian 4.0 yang ketika ini mendominasi wacana di segala ranah kehidupan. Yang harus difikirkan bukan hanya kemajuan teknologi, tetapi yang lebih penting adalahuntung nasib manusianya. Apakah revolusi perindustrian kali ini akan menjadikan manusia lebih baik? Apakah ia akan membawa kebaikan kepada kemanusiaan keseluruhannya? Atau akan ada winners dan losers yang akan memperluas jurang ketidaksaksamaan dalam kalangan manusia? Apakah Revolusi Perindustrian Keempat ini dapat menjamin we are served, not enslaved, by technology? Dan apa yang akan terjadi kepada moral, etika dan nilai- nilai kemanusiaan lainnya? (Schwab, K., 2017: 97-105).

Misi sebuah universiti tidak hanya untuk menyumbang kepada sektor ekonomi, tetapi yang lebih utama ialah untuk khidmat masyarakat. Itulah yang dimaksudkan dengan university for public good atau dalam bahasa agama disebut maslahah `ammah. Memang masyarakat awam berhak bertanya apa yang mereka dapat dari universiti? Pertanyaan tersebut hanya boleh dijawab oleh universiti yang komited dengan misi ummatik islah al-mujtama` atau dalam ungkapan konvensional disebut reshaping the society. Untuk menjayakan misi islahi ini, universiti harus akrab dengan masyarakat.

Walau apa pun yang terjadi, universiti Islam harus tetap optimis dan istiqamah dalam melaksanakan misinya: pengutuhan dan pemberdayaan insan. Yang harus lahir dari institusi keilmuan dan keumatan ini ialah manusia yang utuh dan berdaya juang. Manusia yang utuh ialah manusia yang dibina seluruh aspek keinsanannya secara seimbang, dan manusia yang berdaya juang ialah manusia yang kuat dan mempunyai keberanian hidup berprinsip di tengah simpang-siur pemikiran yang menyesatkan. Sesungguhnya universiti Islam memiliki potensi besar untuk menjadi institusi pendidikan penyelamat kemanusiaan sejagat.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032