NILAI, 31 Mac 2022 – Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Syarahan Perdana Profesor bertajuk Resiprokaliti Dalam Kaunseling:  Timur Bertemu Barat Dalam Pencarian Kebahagian yang disampaikan oleh Prof Dr Datin Sapora Sipon, Profesor dalam disiplin kaunseling, Program Kaunseling di FKP.

Dalam Syarahan beliau, Prof Datin Dr Sapora menyatakan bahawa bidang ilmu kaunseling masih berlatarbelakangkan sekular walaupun usaha untuk melihatnya daripada perspektif agama dan spiritual semakin banyak dilaksanakan. Ahli-ahli psikologi Muslim menghadapi banyak permasalahan dalam kajian ilmu jiwa. Antaranya ialah impak sekularisasi terhadap bidang ilmu.

Beliau menjelaskan ahli Psikologi Muslim bagaikan berada di dalam “lubang biawak” dan menerima secara membuta tuli teori-teori psikologi Barat. Mereka juga kurang kritis mengkaji sejarah falsafah dan kepercayaan ilmu Barat, di samping kurang mempunyai daya cipta dan kepercayaan diri untuk mencipta alat ujian yang berdasarkan ilmu jiwa sendiri. Terdapat jurang antara ajaran Islam sebenar dengan amalan dan praktis masyarakat Islam.

Dalam memahami paduan dan resiprokaliti antara Timur dengan Barat dalam ilmu kaunseling, Prof Datin menggunakan satu model yang berpaksikan teori Sosiologi Hippolyte Taine (dalam Laurenson dan Swingewood, 1971) yang melihat faktor persekitaran sosial, zaman, dan tasawur sebagai mempengaruhi pembinaan pengarang. Seterusnya, model ini membincangkan elemen ambivalen, mimikri, dan hibrid (Bhaba, 1994) menurut perspektif pascakolonial. Tiga peringkat, iaitu jatuh cinta, rujukan dan pembebasan yang dicadangkan oleh Malik Badri untuk membawa ahli Psikologi Muslim keluar dari lubang biawak dalam menghilangkan rasa tidak percaya diri atau inferiority complex pihak Timur di hadapan Barat turut diaplikasikan. Pengalaman kerjaya ke arah resiprokaliti Timur dengan Barat dalam ilmu kaunseling dikongsi dalam Syarahan Perdana Profesor beliau.

“Resiprokaliti dalam kaunseling Timur bertemu Barat adalah wajar kerana kaunselor memerlukan pemahaman mengenai Islam supaya pendekatan kaunselor dilaksanakan dalam konteks sosioagama semasa bekerja dengan klien Muslim. Ahli psikologi Muslim perlu memanfaatkan kembali khazanah intelektual Islam sebagai tambahan kepada ilmu kontemporari di samping debunk the captive mind, membuat contrapuntal reading terhadap karya pihak Barat secara kritis semula”, ujarnya lagi.

Prof Dr Datin Sapora pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, dan Kaunselor Sekolah Sepenuh Masa. Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan menyertai USIM yang ketika itu dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) pada tahun 2003.

Beliau telah menghasilkan lebih daripada 132 bentuk penulisan sama ada dalam bentuk buku, artikel jurnal dan prosiding. Selain itu, beliau juga telah menulis lebih daripada 60 buah buku di mana, Buku Teori Kaunseling dan Psikoterapi beliau bersama Dr Rohaya Hussin kini memasuki edisi ke enam,selain telah menulis  lebih dari 1000 penulisan di akhbar terkemuka di Malaysia seperti Berita Harian,Utusan Malaysia dan Harian Metro.  Di USIM, beliau juga pernah memegang jawatan pentadbiran lain sebagai Pengarah, Pusat Korporat dan Antarabangsa, Timbalan Dekan FKP serta Pengarah Pusat Penyelididkan dan Inovasi, USIM.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan