NILAI – Usia bukanlah penghalang untuk mengejar impian. Itulah yang dibuktikan oleh Ahmad Feroz Abdul Samad, 41 tahun, apabila berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian daripada Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Hari yang penuh bermakna ini disaksikan oleh ibunya yang tercinta, seorang suri rumah sepenuh masa berusia 82 tahun, yang menjadi tonggak semangat buat Feroz selepas pemergian ayahnya pada tahun 2017.

“Pencapaian ini bukan hanya kejayaan peribadi saya, tetapi juga hasil doa, usaha, dan sokongan daripada keluarga serta rakan-rakan. Kehadiran ibu saya hari ini menjadikan detik ini lebih istimewa,” kata Ahmad Feroz.

Memulakan pengajian sepenuh masa pada usia 37 tahun, Feroz menghadapi pelbagai cabaran, termasuk menyesuaikan diri dengan pelajar muda berusia 20-an. Namun, beliau menganggap situasi ini sebagai peluang untuk menikmati semula kehidupan sebagai pelajar.

Pandemik COVID-19 juga menguji ketabahan Feroz, terutama dengan peralihan kepada pembelajaran dalam talian.

“Pembelajaran dalam talian memang mencabar, tetapi ia turut memberi kelebihan seperti penjimatan masa dan kos. Syukur, saya sempat merasai pengalaman pembelajaran secara bersemuka selama dua tahun setengah,” tambahnya.

Feroz bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam aktiviti sosial. Beliau menyertai program kemasyarakatan di Sekolah Jalinan Kasih dan Rumah Bakti Dato’ Harun, serta meraih tempat ketiga dalam pertandingan video SULAM yang mengetengahkan isu buli.

Kini menetap di Pulau Pinang bersama ibunya, Feroz membuat kerja sambilan dalam bidang reka bentuk dan mengisi masa lapangnya dengan bermain bersama kucing peliharaannya sebagai terapi diri. Beliau turut merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana pada Mac 2025.

“Setiap cabaran mengajar saya untuk lebih tabah dan tekad. Usia bukan alasan untuk berhenti bermimpi. Saya ingin terus berjaya demi ibu saya dan membuktikan bahawa usia tidak menghalang kita untuk mencapai kejayaan,” ujar beliau.

Semangat luar biasa Ahmad Feroz menjadi inspirasi kepada semua, mengingatkan kita bahawa dengan usaha gigih, sokongan keluarga, dan kecekalan, tiada impian yang mustahil untuk dicapai.

 

Oleh: Nur Maisarah Mohd Zaimee