NILAI, 13 Mei 2021- Tidak mahu membebankan keluarga menyebabkan Mohd Ley Fadzly Plesly, 19, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakauan dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berasal dari Tawau Sabah antara 66 pelajar yang memilih untuk tidak pulang beraya ke kampung halaman.

“Ini merupakan kali pertama saya berpisah jauh dan tidak beraya bersama keluarga. Keluarga terutamanya ibu sememangnya sedih, tapi mereka reda dengan keputusan saya untuk tidak membebankan mereka memandangkan tiket penerbangan yang mahal selain risiko penularan Covid yang semakin tinggi ini”.

Apabila ditanya aktiviti bersama rakan-rakan sebilik yang tidak pulang beraya, Fadzly merancang untuk bertadarus berjemaah dan menunaikan solat terawih setiap malam.

“Selain itu, kami hanya bermain video game ketika bosan dan mengemas rumah. Pada hari raya ini, kami bercadang untuk beraya di rumah kawan yang berdekatan, tetapi semenjak pkp di umumkan kami membatalkan niat dan akan duduk diam di hostel dan hanya beraya sesama sendiri”, ujar fadzly.

Manakala bagi Ahmad Haziq Ahmad Eaddie Hafizi, 21, yang berasal dari Kampung Seberang Takir, Terengganu berkata, dia tidak pulang ke kampung kerana khuatir risiko penularan wabak Covid-19 terutama kepada keluarganya.

“Saya sudah memaklumkan ibu dan bapa mengenai keputusan saya ini dan mereka pada mulanya sedih namun akhirnya memahami dengan keputusan yang dibuat. Saya juga memikirkan kes harian yang agak tinggi dan mahu keluarga selamat di rumah.

“Selain itu, saya terikat dengan ujian selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti. Jadi, saya boleh meluangkan masa menyiapkan tugasan dan menumpukan perhatian kepada ujian nanti,” katanya yang merupakan penuntut semester empat Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan