NILAI, 17 Februari 2023 – Dalam usaha untuk mendekati komuniti Mengabang Telipot Kuala Nerus Terengganu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bergabung jalin kepakaran akademik dengan melaksanakan Program Universiti Bersama Komuniti – Jom Carre Komuniti Nelayan pada 17 Februari 2023 baru-baru ini.

Majlis Perasmian dirasmikan oleh Dato’ Prof. Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi. Dalam majlis yang sama turut diadakan sesi pertukaran Surat Niat antara UMT – USIM – UniSZA sebagai simbolik tanda kerjasama ketiga-tiga universiti dalam penganjuran program berbentuk pemindahan ilmu dan kemasyarakatan.

Naib Canselor USIM Prof. Dato’ Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, antara objektif penganjuran porgram ini adalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni melalui siri perkongian ilmu antara universiti yang terlibat bersama-sama komuniti setempat menerusi aktiviti sukaneka, pameran dan pemeriksaan kesihatan. Sekaligus mereka dapat mengenali UMT, USIM dan UniSZA secara lebih dekat dan mengeratkan hubungan antara universiti, agensi, industri dan komuniti.

  

“Kita mengucapkan terima kasih atas penglibatan semua pihak terutamanya rakan-rakan strategik yang turut menyokong seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Pharmaniaga, Multimedia Universiti, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Terengganu Utara, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Setiu, Koperasi Nelayan Melayu Mengabang Telipot dan Ahli Jawatankuasa Masjid Mengabang Telipot dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) – Kg. Banggol Telipot, Kg. Gong Sekolah, Kg. Mengabang Telong, Kg. Tanjong Gelam, Kg. Tengah dan Kg. Wakaf Tengah”, ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengarah program mewakili USIM Prof Madya Dr. Nuruliza Roslan berkata, pelbagai bentuk aktiviti pemindahan ilmu serta pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dijalankan antaranya pemeriksaan kesihatan, sudut pameran universiti, ceramah perikanan, ceramah motivasi pelajar dan sukaneka.

Turut hadir Dato’ Profesor Dr. Husaini Omar Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dato’ Dr. Sharifudin Md Shaarani Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Dr. Zuhairah Ariff binti Abd Ghadas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Dr. Fauziah Abu Hasan Pro Naib Canselor (Hal Ehwal Korporat dan Jaringan Industri) Universiti Malaysia Terengganu dan Encik Ahmad Ailani Ruslanddin Pngerusi Masjid Mengabang Telipot.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan