NILAI, 17 Mei 2016 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi mengulangi kejayaan di pentas Pameran Rekacipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2016 (ITEX) apabila berjaya membawa pulang 5 emas, 2 perak dan dua gangsa apabila seramai 9 orang kakitangan akademik turut serta bagi penyertaan 9 produk.

Permainan berkonsepkan “board game” antara yang mendapat emas dinamakan Muamalat Interactive Game (MIG) 2.0 merupakan permainan seperti saidina yang mana pemain boleh merasai sendiri proses jual beli melibatkan proses perbankan dan kewangan Islam yang diketuai oleh Pn Syahidawati Shahwan dari Fakulti Ekonomi Muamalat.

Pensyarah dari Fakulti Perubatan Sains Kesihatan, Dr Ahmad Najib Azmi bagi produk Mobile Intravenous Drip (MIV) sangat mesra pengguna yang memberi kemudahan pergerakan  pesakit untuk urusan di hospital seperti menjalani terapi yang boleh di bawa ke mana sahaja.

Dr Azman Ab Rahman,  pensyarah dari Fakulti Syariah Undang-undang memperkenalkan Model Indeks Penentuan Had Tempoh Mualaf yang dibangunkan sebagai pengukuran penentuan had tempoh mualaf di Malaysia. Model ini akan menjadi indikator untuk mengenalpas­ti dan menetapkan had tempoh panggilan mualaf yang sesuai mengikut realiti semasa di Malaysia.

Dr Abdul Rahman Hassan, pensyarah  bagi produk Chicken Egg Shell (Ches) Membranes for Protein Separation manakala Dr Noor Najihan Jaafar, pensyarah Fakulti Quran dan Sunnah bagi produk I-Talk PISKEB (Innovation Talk Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan) yang merupakan perisian interaktif audio buku pendidikan Islam sekolah rendah kebangsaan direka khas bagi pelajar OKU cacat penglihatan.

Mendapat perak bagi produk X-Dent Box oleh pensyarah dari Fakulti Pergigian, Dr Nursima Mohamad dan produk Im Ready oleh pensyarah Sains Teknologi, Dr Madihah Mohd Saudi. Tidak ketinggalan, pingat gangsa menjadi milik pensyarah Fakulti Pergigian, Dr Norlela Yacob bagi produk Duplo Box manakala pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi masih boleh berbangga dengan produk NAISE 1.0 : Cross Lingual Information Retriecal with QuHex Indexing Model.

“Kejayaan pensyarah-pensyarah USIM dari setiap fakulti USIM memperlihatkan kerja keras dan keterlibatan aktif mereka bagi meningkatkan mutu serta daya saing dalam bidang dan kepakaran masing-masing. Selain memberi peluang kepada penyelidik mempamerkan hasil inovasi, mereka mampu menyertai kumpulan pakar dari pelbagai bidang penyelidikan dan pembangunan, pembuatan, pembiayaan dan udang-undang,” ucap satu kenyataan.

ITEX 2016 berlangsung selama 3 hari bermula 12 hingga 14 Mei 2016 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menghimpunkan lebih 1000 penyelidik oleh penyelidik unversiti, pusat penyelidikan dalam dan luar negara, sekolah rendah dan sekolah menengah serta sector swasta dari 22 negara antaranya China, Jerma, Hong Kong, Indonesia, Iraq, Vietnam. Tambahan, Pameran Pereka Cipta Muda Malaysia (MYIE) turut menjadi tarikan sebagai platform 152 penyelidik muda negara mempamerkan hasil penyelidikan masing-masing.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204