NILAI, 5 September 2013 – Galeri Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dibanjiri dengan rakan media, Pegawai-pegawai kanan dari USIM dan FINAS bagi menyaksikan upacara Majlis Penyerahan Cek dan Sidang Media Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia (FFVPM) ke-10.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah YBhg. Prof Dato’ Dr. Asma Ismail Naib Canselor USIM, Yang Mulia Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah Ketua Pengarah Finas dan YBhg. Prof Dr. Zulkiple Abd Ghani Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM Merangkap Penasihat Bersama Jawatankuasa FFVPM.
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjadi tuan rumah Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia (FFVPM) ke 10 buat julung kalinya yang bakal berlangsung pada 15 hingga 16 November 2013 di Stadium Tertutup Nilai. FFVPM-10 bakal memperlihatkan penglibatan lebih 80 institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh Negara yang bertemakan “Evolusi Lensa Merentasi Globalisasi” yang menekankan aspek pemantapan kualiti produk penyiaran di Malaysia dan mesej nilai murni dalam era globalisasi.
Sepanjang festival berlangsung, turut diadakan Karnival Komunikasi (K-KOM 2013) dan antara aktiviti yang akan dijalankan adalah bengkel penulisan skrip, bengkel animasi, apresiasi filem dan pameran berkaitan bidang komunikasi di Malaysia.
Prof Dr. Zulkiple Abd Ghani berkata, sebanyak tujuh kategori dipertandingkan iaitu Filem/Video Pendek, Filem/Video Dokumentari, Filem/Video Eksperimen, Video Klip, Iklan, Filem/Video Animasi dan Pesanan Khidmat Awam (PSA). “Penilaian dilakukan terhadap kreativiti dan inovasi peserta berdasarkan tema FFVPM-10. Keaslian naratif filem dan video serta kelainan tema turut diberikan perhatian,” jelas beliau.
Menurut YBhg. Naib Canselor Prof Dato’ Dr. Asma Ismail pula, USIM berhasrat untuk memartabatkan kualiti penerbitan filem juga memantapkan dari segi mesej yang mengangkat elemen kecemerlangan rohani dan jasmani. “Dengan sokongan FINAS, program ini diharapkan akan dapat direalisasikan demi mencapai matlamat program selari dengan objektif USIM dan FINAS sendiri,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, Yang Mulia Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah merangkap Ketua Pengarah FINAS berharap festival ini mendapat sambutan yang memberansangkan dari semua IPTA dan IPTS seluruh Malaysia serta mendapat liputan yang meluas oleh media cetak dan elektronik. Beliau turut menyerahkan mock cheque bernilai RM135,000 kepada YBhg. Naib Canselor USIM sebagai simbolik tajaan dari FINAS bagi penganjuran FFVPM-10 kali ini.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Penolong Pegawai (Media Stracomm)
Dikemaskini oleh:
Syazlyna Jamil
Penolong Pendaftar StraComm