UiTM  Shah Alam  12 Mac 2011– Kumpulan Nasyid Interaksee Urusetia Kesenian Pelajar  Bahagian Hal Ehwal Pelajar  Universiti Sains islam Malaysia sekali lagi membuktikan pencapaian hebat mereka apabila berjaya mengondol kesemua hadiah yang ditawarkan dalam Festival Nasyid Universiti( FENU) yang dianjurkan  oleh UiTM.

Program yang berlangsung dengan jayanya tersebut telah memberi seribu kenangan yang sungguh manis kepada Kumpulan Interaksee Urusetia Kesenian Pelajar kerana berjaya memenangi Johan Keseluruhan FENU 2011, Vokal Terbaik melalui suara merdu Mohd Juhairee Mohd Junaidie Khan ( FPQS) dan Persembahan Terbaik. Mereka juga turut mempertahankan kejuaraan yang dimenangi dalam FENU 2010 yang lalu.

Bersandarkan kepada 2 buah lagu ciptaan sendiri, Interaksee berjaya memukau barisan juri dan hampir seribu penonton yang hadir pada malam tersebut. Lagu pertama dendangan Interaksee yang berjudul Bangkitlah merupakan hasil karya pelajar USIM iaitu Muhammad Shukri Sahari dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat dengan pendekatan kreatif melalui penggunaan bahasa Loghat Kelantan yang unik. Manakala lagu kedua Seperti Inikah Dunia  menggunakan konsep teaterikal dalam persembahan pentasnya yang berjaya menyentuh hati penonton merupakan hasil karya Encik Ismail Ahmed Pegawai Kebudayaan USIM dan liriknya oleh Ahmad Faiz Abdul Aziz pelajar sarjana FST.

Menyingkap pencapaian tersebut, Encik Ismail Ahmed menzahirkan  kesyukuran kepada Allah S.W.T dan ucapan terimakasih kepada pengurusan tertinggi universiti khususnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar atas sokongan yang jitu dan padu telah berjaya memotivasikan Urusetia Kesenian Pelajar USIM mencapai kecemerlangan sekali lagi di persada IPTA. Semoga kecemerlangan membanggakan ini akan dapat diteruskan lagi dimasa akan datang. InsyaAllah.

Oleh:
Unit Kebudayaan
Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Sains Islam Malaysia