26 November, Nilai – Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan (PBNS) sebagai ejen zakat telah berjaya mengagihkan sejumlah RM2,013,915.00 kepada 2046 pelajar dan 52 staf asnaf di bawah kategori fakir dan miskin dan sebanyak RM262,900.00 diagihkan kepada program bersifat ilmu, dakwah dan kebajikan melalui dana fisabilillah.

Menurut Pengarah PWZ, Dr. Mushaddad Hasbullah, menerusi lantikan tersebut, PWZ memperoleh 3/8 agihan semula untuk diagihkan kepada golongan asnaf di dalam USIM.

“Selain itu, hasil kerjasama PWZ dan beberapa institusi korporat juga, PWZ menerima agihan semula zakat korporat daripada beberapa institusi korporat dan telah berjaya mengurangkan beban yuran pengajian kepada sebilangan besar pelajar asnaf,” katanya lagi.

Selain itu, PWZ sangat komited dalam memastikan setiap sen zakat yang diterima diagihkan secara telus sebagai membalas segala kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh penyumbang zakat.

“PWZ berharap dengan agihan sebegini, di mana peratusan agihan sebanyak 95 peratus, lebih ramai penyumbang akan membayar zakat kepada USIM pada masa hadapan”.

Selain pengagihan zakat secara rutin, pihak pengurusan PWZ juga mewujudkan pelbagai bentuk inisiatif di bawah peruntukan program pembangunan asnaf untuk para penerima zakat di USIM. Antaranya ialah program Anugerah Biasiswa Barakah yang mensasarkan pemberian biasiswa kepada pelajar asnaf terpilih dalam kalangan pelajar cemerlang dan juga pemberian baucer buku kepada lebih 400 pelajar asnaf USIM.

Dalam masa yang sama, Naib Canselor USIM, Prof. Dr Mohamed Ridza Wahiddin memuji pendekatan yang dilakukan oleh PWZ termasuklah menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa institusi kewangan dan korporat bagi memastikan USIM menerima manfaat daripada zakat korporat.

“Pelbagai usaha yang dilakukan PWZ termasuk menjalin hubungan kerjasama dengan institusi korporat adalah bukti kesungguhan PWZ untuk memastikan USIM terus komited dalam pengagihan zakat dan saya selaku Naib Canselor USIM akan terus menyokong semua bentuk inisiatif PWZ kerana saya yakin segala usaha ini bakal membawa PWZ menjadi sebuah institusi zakat yang lebih mantap dan profesional serta mampu memenuhi keperluan asnaf.”

Prof. Dr Mohamed Ridza juga menyatakan harapan untuk melihat lebih ramai lagi penyumbang zakat sama ada dalam kalangan staf USIM ataupun institusi korporat yang menyumbang zakat kepada USIM demi memastikan kebajikan para pelajar dan staf dalam kategori asnaf lebih terjamin.

PWZ setakat ini telah banyak membantu golongan memerlukan dalam kalangan pelajar dan staf USIM seperti membayar hutang yuran pengajian, pemberian baucer buku dan pembelian keperluan persekolahan anak-anak staf apabila menjelang sesi persekolahan baharu.

Walaubagaimanapun, PWZ turut tidak melupakan penduduk setempat sekitar Nilai melalui program-program tanggungjawab sosial di luar USIM seperti Program Sumbangan Petrol Percuma kepada motosikal berkapasiti 150cc ke bawah dengan kerjasama Petronas Bandar Baru Nilai. Program sebegini dilihat mampu memberikan impak positif dalam memacu ekonomi ummah dan menjadikan USIM sebagai institusi pendidikan tinggi yang sangat perihatin terhadap kebajikan pelajar dan staf serta penduduk sekitar.

Disediakan oleh:
Dr Sofia Hayati Yusoff
Timbalan Pengarah
Pusat Wakaf & Zakat (PWZ)
Universiti Sains Islam Malaysia

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan