NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyambut kedatangan 110 pelajar peringkat Sekolah Menengah Tinggi dari lima buah sekolah dari Indonesia dan Thailand melalui pengajuran program 10th Islamic Global School Network (IGSN) Jamboree 2024 selama 7 hari bermula pada 18 Ogos hingga 24 Ogos 2024 ini.
Para peserta adalah dari Sekolah Menengah MAN 2 Kota Malang, MAN 2 Ponorogo, SMA AL Muttaqin di Indonesia, Islamic Science Demonstration, Thailand dan Chongraksat wittaya, Thailand.
Dalam ucapan pembukaannya, Professor Dr. Mahazan Abdul Mutalib @ Taib, Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik) menekankan bahawa USIM kini giat melaksanakan program mobiliti berdasarkan pelancongan pendidikan atau edu-pelancongan di mana ia menjadi platform untuk mempamerkan Malaysia melalui Pendidikan Tinggi sebagai hab pendidikan antarabangsa. Ini juga selaras dengan aspirasi dan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mencapai angka 250,000 kemasukan pelajar antarabangsa pada tahun 2025 melalui program mobiliti seperti ini.
Beliau berkata lagi, Jambori IGSN adalah program yang unik kerana sejak penubuhannya, program ini sentiasa mendapat tempat di hati pelajar antarabangsa, terutamanya dari Indonesia. Kerana ia mengadaptasi elemen edu-pelancongan yang mampu menyerlahkan budaya komuniti tempatan dan kehidupan di kampus dalam tempoh satu (1) minggu yang diisi dengan program yang cukup efektif dan menyeluruh.
Sementara itu, Dr. Fauziah Hasan Pengarah USIM ‘Alamiyyah berkata, IGSN merupakan program mobiliti inbound dan menjadi program flagship di USIM ‘Alamiyyah (Pusat Antarabangsa) dengan kerjasama USIM Global Buddies.
Ujarnya lagi, simbolik kepada penganjuran IGSN yang ke 10 pada tahun ini, USIM mensasarkan untuk mewujudkan sebuah konsortium yang akan memberi platform kepada sekolah-sekolah antarabangsa untuk mendapat maklumat mengenai program akademik dan bukan akademik yang dianjurkan oleh USIM dan sekaligus dapat meningkatkan keterlihatan USIM di peringkat global.
Pada majlis yang sama turut diadakan sesi menandatangani dokumen Surat Hasrat (LoI) sebagai tanda permulaan kerjasama dan sinergi yang proaktif serta tanda ikatan yang kukuh dengan sekolah-sekolah yang akan menjadi penyalur kepada USIM untuk mengikuti program di peringkat sarjana muda dan seterusnya ke peringkat lanjutan.
Objektif program IGSN termasuklah menyokong aktiviti kepimpinan di bawah elemen holistik Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) USIM, memberi pendedahan holistik yang merangkumi aspek akademik, kepimpinan, sukan, budaya dan sahsiah serta rohani di samping memberi pendedahan kepada pelajar tempatan dan antarabangsa berkaitan integrasi budaya, bahasa dan kehidupan di kampus. Ia juga menjadi platform mempromosikan kemasukan pelajar antarabangsa mengikuti pengajian Prasiswazah di USIM.
Sepanjang program ini, para peserta terlibat dalam aktiviti integrasi budaya melalui pembentangan dan persembahan, lawatan sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka serta aktiviti sukan dan riadah di dalam kampus.