NILAI, 30 November 2021– Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyahut cadangan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Aishah Rohani Ibnu Tuanku Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Canselor USIM yang mahukan universiti menerokai teknologi blockchain dengan membangunkan sebuah aplikasi yang dinamakan Tasdiq Al- Syahadah (TAS).

Aplikasi TAS yang dibangunkan bagi memudahkan pengesahan ketulenan skrol graduan yang dikeluarkan oleh USIM ini merupakan sebuah aplikasi mudah alih (aplikasi mobile) berasaskan teknologi blockchain dan keistimewaan aplikasi ini terletak pada kos pembangunan yang jauh lebih rendah serta dibangunkan melalui kepakaran dalamannya sendiri yang diterajui oleh Pejabat Ketua Pegawai Maklumat (CIO), Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM dengan kerjasama iExploTech dan Sekretariat Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (IPTM) DLT Network.

Menurut Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, tindakan proaktif ini di ambil dalam usaha mencegah penipuan ijazah palsu bagi menjaga reputasi dan integriti sijil akademik universiti.

Sepertimana tema konvokesyen kali ini “Pandemik COVID-19 Pemangkin Prosumer Muslim Yang Berdisiplin” yang menggunakan konsep prosumerisme melalui konsep share more, learn more and make more, USIM telah bekerjasama dengan Cyber Security Academia Malaysia (CSAM) dalam menjalani proses penilaian yang dianggotai oleh pakar-pakar keselamatan siber Universiti Awam dan Swasta selain turut dinilai oleh wakil pakar keselamatan Cyber Security Bristol, United Kingdom.

“Semakan maklumat skrol digital ini hanya boleh dibuat ke atas graduan yang telah memberi kebenaran kepada aplikasi TAS USIM bagi tujuan perkongsian maklumat sesuai dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA)” ujarnya lagi.

Bagi menjamin ketulenan dan keselamatan aplikasi TAS USIM ini, pihak USIM telah menggunakan perkhidmatan Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA) yang disediakan oleh pihak MAMPU. Ianya mampu menempatkan aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh mana-mana agensi Kerajaan secara berpusat sebelum dimuatnaik di Google Playstore.

Manakala Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM berkata, bakal majikan atau pihak berkepentingan boleh memuat turun aplikasi TAS USIM di Google Playstore mulai 30 November 2021. Bagi pengguna selain android, versi web TAS USIM berasaskan blockchain sedang dibangunkan dan dijangka akan dapat dicapai sebelum penghujung tahun 2021 nanti.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan