NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh agenda pemerkasaan dakwah digital yang kreatif, berimpak dan inklusif menerusi penganjuran Bengkel Kreatif Dai Digital 2026 bertempat di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM dari 20 hingga 22 November 2026.
Program tiga hari anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Yayasan ARISMA dengan kerjasama strategik FPQS serta Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) USIM itu menghimpunkan seramai 30 peserta bagi mencungkil bakat baharu serta membangunkan kemahiran praktikal generasi muda dalam penghasilan kandungan media kreatif berteraskan nilai Islam.
Penyertaan peserta kali ini melibatkan kolaborasi empat badan pelajar USIM iaitu Sekretariat Mahasiswa OKU USIM (SMOKU), Sekretariat Sahabat FAQEH USIM (SaF), Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (PMFPQS), serta Kelab Media dan Komunikasi Strategik (StraComm Clique).
Penglibatan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan sukarelawan OKU bersama gabungan persatuan mahasiswa ini mencerminkan komitmen berterusan USIM dalam membangunkan ekosistem dakwah digital yang inklusif dengan membuka ruang saksama kepada semua komuniti kampus untuk berkarya dan menyumbang idea kreatif.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Tuan Anas Ayob ketika merasmikan majlis penutup bengkel menegaskan bahawa kemahiran menghasilkan kandungan kreatif merupakan antara instrumen dakwah moden serta kemahiran nilai tambah yang semakin kritikal dalam mendepani landskap komunikasi semasa.
“Dunia hari ini dibanjiri pelbagai kandungan yang boleh diakses hanya di hujung jari. Jika golongan berilmu, berakhlak dan inklusif tidak mengambil peranan untuk mengisi ruang digital ini dengan mesej yang benar, santun dan bermanfaat, maka ruang tersebut berisiko dipenuhi kandungan yang tidak membawa kebaikan, malah boleh membahayakan moral dan akidah.
“Justeru, kemahiran menghasilkan kandungan kreatif bukan sekadar kebolehan teknikal, tetapi merupakan satu kemahiran bernilai tambah yang penting dalam menyampaikan dakwah dengan pendekatan lebih segar, kreatif dan mudah difahami oleh generasi muda, khususnya generasi Z,” ujarnya.
Tambah beliau, MAIS dan JAIS sentiasa komited untuk terus menyebarluaskan mesej Islam dan nilai murni melalui pendekatan komunikasi yang relevan serta memanfaatkan platform digital sebagai ruang pembentukan nilai masyarakat.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta dibimbing melalui pendekatan latihan praktikal merangkumi pembinaan idea penceritaan, penulisan skrip ringkas, teknik rakaman video, pengendalian kamera serta penyuntingan video bagi menghasilkan produk digital yang menepati kehendak khalayak sasaran.
Sesi bimbingan tersebut dikendalikan oleh empat tenaga pengajar berpengalaman luas dalam bidang pengarahan filem, penerbitan dan penghasilan kandungan digital iaitu Encik Aliff Ihsan Rahman, Encik Muhammad Iliya Farouq Omar, Dr. Shaza Talib dan Encik Muhammad Saini Mohd Kasim dengan sokongan kepakaran teknikal daripada Yayasan ARISMA.
Penganjuran bengkel ini membuktikan bahawa sinergi antara institusi agama, universiti dan organisasi media kreatif mampu memperluas pendekatan penyampaian dakwah yang lebih dekat dengan masyarakat serta sejajar dengan perkembangan dunia digital masa kini.
Oleh: Khairunnisa Ismail




