PUTRAJAYA – Filem pendek berjudul ‘RaSaka’ terbitan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih empat pengiktirafan menerusi pertandingan Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 dengan keseluruhan nilai hadiah dan geran berjumlah RM7,100.
Produksi di bawah kendalian Kelab Media dan Komunikasi Strategik (StraComm Clique) itu berjaya membawa pulang pingat emas, gelaran naib juara kategori filem pendek berserta hadiah wang tunai RM3,000, serta Anugerah Pilihan Penonton yang menawarkan hadiah wang tunai RM1,000.
Selain pengiktirafan tersebut, pasukan produksi berkenaan turut menerima geran SIGGRAPH Asia bernilai RM3,100 sebagai pengiktirafan terhadap mutu penghasilan karya kreatif mereka.
Kejayaan itu lebih bermakna apabila keseluruhan produksi tersebut dijayakan oleh sekumpulan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang pengajian yang tidak mempunyai pengkhususan secara langsung dalam bidang perfileman, namun mampu menghasilkan karya berdaya saing yang menambat hati barisan juri serta penonton.
Penasihat Produksi ‘RaSaka’, Muhammad Amirul Afif Misran berkata, pencapaian tersebut mencerminkan peningkatan ketara terhadap keupayaan serta potensi mahasiswa USIM dalam meneroka bidang kreatif dan perfileman.
Beliau berharap kejayaan itu menjadi pemangkin kepada penghasilan karya yang lebih berkualiti pada masa hadapan, di samping membuka ruang jaringan kerjasama strategik bersama pemain industri bagi terus memperkasakan bakat pelajar.
Sementara itu, Pengarah Produksi ‘RaSaka’, Faiz berkongsi bahawa kemenangan tersebut hadir selepas pasukan berdepan pelbagai rintangan sepanjang tempoh penerbitan, termasuk insiden penipuan, kerosakan kenderaan ketika sesi penggambaran, serta kekangan dalam penyediaan bahan promosi.
“Terima kasih kepada semua pegawai, kru dan rakan strategik yang menjayakan ‘RaSaka’. Semoga kemenangan ini menjadi batu loncatan untuk Kelab Media dan Komunikasi Strategik terus terbang tinggi,” katanya.
Semangat kerjasama dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh seluruh kru membolehkan naskhah berkenaan disiapkan dengan jayanya sehingga meraih pengiktirafan di peringkat pertandingan.
Pencapaian ini sekali gus memperkukuh peranan StraComm Clique sebagai platform utama pembangunan bakat mahasiswa USIM dalam bidang penerbitan kreatif, komunikasi strategik dan penghasilan kandungan digital yang berimpak tinggi.
Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini
