NILAI – Sebanyak 27 majikan daripada pelbagai sektor industri berhimpun di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi penganjuran USIM Career & Internship Fair 2026 yang berlangsung pada 18 November baru-baru ini, sekali gus berjaya menarik kehadiran lebih 1,000 pengunjung dalam usaha memperkasa kebolehpasaran graduan.
Program yang berlangsung di Dewan Utama Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) ini merupakan penganjuran kali kedua oleh Pusat Kerjaya dan Alumni (PUSAKA) USIM dengan kerjasama strategik Talentbank. Karnival ini menjadi platform utama bagi pelajar, alumni USIM serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar untuk meneroka peluang pekerjaan, penempatan latihan industri dan mendapatkan maklumat kerjaya secara terus daripada wakil industri.
Wakil majikan daripada Jobgiga Sdn. Bhd., Nik Ammar menyifatkan penganjuran program seumpama ini sebagai satu inisiatif yang berkesan untuk memperkenalkan syarikat yang menawarkan pelbagai peluang kerjaya, di samping merapatkan jurang hubungan antara pihak industri dengan universiti.
“Di pihak saya sendiri, amat berpuas hati dengan sambutan kehadiran dan kualiti pelajar yang menepati kehendak industri. Kami amat berminat untuk menyertai semula karnival kerjaya ini pada masa akan datang bagi berkongsi pelbagai lagi aktiviti serta maklumat berkaitan prospek kerjaya,” ujarnya.
Selain sesi pameran dan temu duga di reruai majikan, karnival ini turut diisi dengan pengisian pembangunan diri termasuk sesi Perkongsian Persediaan Kerjaya bersama TalentCorp. Para pengunjung juga berpeluang mendapatkan bimbingan profesional menerusi sesi bimbingan kerjaya secara peribadi (one-to-one) yang dikendalikan oleh kaunselor daripada Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Pusat Hal Ehwal Pelajar, Seksyen Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendaftar serta pelajar pelatih kaunseling dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP).
Dalam pada itu, majlis penyampaian sijil penyertaan kepada kesemua 27 majikan turut diadakan sebagai tanda penghargaan atas komitmen serta sokongan mereka dalam menjayakan ekosistem kebolehpasaran graduan universiti. Penyampaian sijil tersebut disempurnakan oleh Encik Mohd Hazrul Fareeza Harun yang menjalankan tugas Pengarah PUSAKA bersama Pengarah Sumber Manusia dan Budaya Talentbank, Iris Ong.
Bagi menyemarakkan lagi suasana karnival, reruai jualan oleh usahawan alumni turut dibuka di perkarangan Dewan FPBU yang menampilkan syarikat Pizza & Cheezy, Beeb Empire, U&I Enterprise serta Qahwa Salam dengan kerjasama Genba Bakery. Penganjur turut menyediakan lebih 30 hadiah cabutan bertuah kepada para pengunjung termasuk hadiah utama berupa jam pintar Xiaomi Watch, pembesar suara Xiaomi Speaker dan fon telinga Xiaomi Buds.
Kejayaan penganjuran USIM Career & Internship Fair 2026 ini membuktikan komitmen berterusan USIM melalui PUSAKA dalam memastikan mahasiswa dan graduan sentiasa bersedia mendepani cabaran pasaran kerja semasa melalui jaringan kolaborasi industri yang mampan.
Oleh: Syazlyna Jamil



