PUTRAJAYA –Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi menerajui usaha memperkukuh kefahaman terhadap peranan wahyu dalam pembinaan tamadun melalui Seminar Wahyu Asas Tamadun (SWAT) Peringkat Antarabangsa Kali Ke-10, yang berlangsung bermula hari ini hingga esok 13 November 2025 di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya.
Diterajui oleh Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, seminar dwitahunan ini menjadi platform penting yang menghimpunkan 210 pemebentang dari kalangan para sarjana, ahli akademik dan penyelidik dalam bidang al-Quran untuk membincangkan isu-isu semasa berteraskan panduan wahyu dan relevansinya terhadap pembangunan masyarakat Madani masa kini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang dalam ucapannya menegaskan bahawa al-Quran merupakan sumber ilmu yang mendasari pembinaan peradaban manusia dan wajar terus dijadikan tunjang sistem pendidikan serta pembangunan masyarakat Islam kontemporari.
Turut hadir Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, yang menzahirkan komitmen universiti untuk terus memperkasa agenda pemerkasaan ilmu wahyu sebagai teras kepada visi universiti dalam menerajui integrasi Naqli dan Aqli.
“USIM komited untuk meneruskan peranan sebagai peneraju dalam mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli bagi membina tamadun berasaskan wahyu. SWAT bukan sekadar wacana akademik, tetapi platform untuk menterjemahkan nilai dan objektif al-Quran ke dalam dasar awam, kurikulum pendidikan serta pembangunan masyarakat,” ujar beliau.
“Melalui seminar ini, kita ingin mengukuhkan peranan al-Quran sebagai panduan sejagat yang menyatukan kemanusiaan, membina kesejahteraan serantau dan perpaduan global. Inilah inti perjuangan ilmu yang ingin USIM ketengahkan di pentas dunia,” tambah beliau lagi.
Seminar ini turut menampilkan dua tokoh ilmuwan tersohor sebagai pengucaptama, iaitu Profesor Dr. Jasser Auda, Pengerusi Eksekutif Institut Maqasid, dan Datuk Abdul Latiff Mirasa, Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu. Kedua-dua tokoh menekankan kepentingan memahami al-Quran secara menyeluruh dalam konteks pembangunan tamadun moden serta menyeru kepada penggabungan nilai wahyu dan rasional akal bagi menangani cabaran global semasa.
Hari pertama seminar menampilkan sesi pembentangan secara fizikal yang memperlihatkan pelbagai wacana ilmiah daripada pengucaptama, pembentang jemputan dan penyelidik akademik, diikuti majlis perasmian pada sebelah petang. Hari kedua pula diteruskan secara dalam talian dengan penglibatan penyelidik dari dalam dan luar negara yang berkongsi hasil kajian serta pandangan ilmiah terkini.
Penganjuran SWAT kali ke-10 ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan fakulti untuk memperkukuh kedudukan ilmu al-Quran dalam pelbagai disiplin moden. Kolaborasi strategik antara USIM, Yayasan Restu dan pelbagai institusi antarabangsa akan terus diperkasa bagi memperluas pengaruh wacana ilmiah Islam di peringkat global.
Melalui kesinambungan penganjuran SWAT, USIM terus membuktikan peranannya sebagai institusi ilmu yang mendukung gagasan Islam berteraskan integrasi Naqli dan Aqli. Seminar ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman terhadap al-Quran sebagai asas peradaban, malah menjadi medan wacana yang menyumbang kepada pembinaan masyarakat Madani berasaskan nilai ilahi untuk kesejahteraan sejagat.