NILAI, 18 MEI 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperluas jaringan kerjasama dalam bidang perbankan dan kewangan bersama College of Banking & Financial Studies (CBFS), dari Oman dalam satu Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di Galeri, Bangunan Canselori.
Hasil lawatan kerja Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda, Pengarah Pusat Pegembangan Integrasi Ilmu Naqli Aqli dan Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin, Dekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat ke CBFS pada April tahun lalu dan perbincangan berterusan telah membuahkan idea untuk menjalin kerjasama antara kedua belah pihak.
“Melalui perjanjian ini, USIM dilantik sebagai badan penilai dalam program Sarjana Muda dalam Kewangan Islam di CBFS. Kerjasama ini akan bermula dari sesi akademik tahun 2015/2016 sehingga 2017/2018 bagi tempoh tiga (3) tahun berdasarkan kalendar akademik CBFS”.
“USIM akan bekerjasama untuk mengkaji semula dan mengesahkan program CBFS dan memastikan program ini mengikuti garis panduan jaminan kualiti seperti yang dipersetujui dengan USIM. USIM akan menyediakan garis panduan dan rangka kerja untuk penilaian dan peperiksaan mengikut standard kualiti yang dipersetujui”, jelas Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad dalam ucapannya.
Selain itu, melalui perjanjian ini kedua belah pihak bersetuju untuk menjalankan program pemindahan kredit selagi ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Semoga kerjasama ini digunakan sepenuhnya dan akan mewujudkan kesan positif terutama dalam pembangunan program Kewangan Islam dan perkongsian ilmu dalam Dunia Islam.
USIM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad dan CBFS diwakili oleh Encik Ali Hamdan Mohamed, Penolong Dekan Sokongan Korporat, CBFS. Turut hadir sama pada majlis tersebut Dekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin, Ketua Pustakawan Encik Jasmin Jaimon dan Pengarah Pusat Pegembangan Integrasi Ilmu Naqli Aqli Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan