NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha memperkasa pendidikan anak-anak pintar dan berbakat dengan menandatangani pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan pelaksanaan Program PERMATA Insan yang berlangsung di Eksekutif Lounge, Aras 6 Canselori pada 3 Jun 2025.

USIM diwakili oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani manakala KPM diwakili oleh Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Bin Hassim.

MoU ini memperkukuh lagi kerjasama strategik antara KPM dan USIM, khususnya melalui Kolej PERMATA Insan sebagai institusi peneraju program pembangunan pelajar pintar dan berbakat di Malaysia.

Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, MoU ini bukan sekadar satu dokumen formal tetapi melambangkan komitmen bersama dalam menjayakan agenda nasional yang mencorakkan acuan cendekiawan Islam berteraskan keseimbangan antara ilmu sains, teknologi dan kefahaman agama.

“USIM berbangga menjadi rakan strategik utama KPM dalam program istimewa ini. Melalui pembaharuan MoU ini, USIM dan KPM komited memperkukuh dasar pembangunan modal insan negara secara holistik, termasuk dari aspek pembiayaan, penyediaan kemudahan, serta perkongsian kepakaran dan infrastruktur,” ujar beliau.

Pembaharuan ini turut memperincikan pelaksanaan program teras seperti Ujian Pencarian Bakat, Mukhayyam Al-Abrar, Program Perkhemahan Cuti Sekolah, serta pendidikan berstruktur sepenuh masa di Kolej PERMATA Insan. Pendedahan awal kepada pendidikan ‘accelerated and enriched’ diyakini dapat memberikan kelebihan kompetitif kepada pelajar pintar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menurut Dato’ Ts. Dr. Sharifudin lagi, kejayaan program ini tidak mungkin dicapai tanpa hubungan erat antara USIM dan KPM. Justeru, MoU ini turut menetapkan penubuhan Jawatankuasa Bersama bagi memastikan penyelarasan dan pemantauan program berjalan lancar serta profesional, termasuk pengurusan harta intelek dan pelibatan pihak ketiga.

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan PERMATA Insan akan menjadi penanda aras sistem pendidikan bersepadu negara, seiring dengan aspirasi Malaysia Madani yang menjadikan ilmu sebagai asas pembangunan insaniah.

“USIM amat menghargai kepercayaan KPM terhadap peranan kami, dan kami akan terus beriltizam memastikan program ini menjadi model kebanggaan negara,” tambah beliau.

Majlis ini menandakan permulaan fasa baharu kerjasama antara dua institusi penting negara dalam mendidik generasi muda yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berakhlak tinggi dan berdaya saing global.