NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan telah sipilih sebagai Pusat Latihan Serantau bagi Program UNESCO di rantau Asia.

Status ini dianugerahkan melalui Memorandum Perjanjian (MoA) selama tiga tahun bermula Januari 2024 hingga 2027 yang ditandatangani oleh Naib Canselor USIM, Prof. Ts. Dato Dr. Sharifudin Md. Shaarani bersama dengan Pengerusi UNESCO, Prof. Emeritus Dr. Budd Hall dan Dr. Rajesh Tandon.

Pelantikan ini menjadikan USIM melalui Pusat Penyelidikan Mizan sebagai satu-satunya Pusat Latihan bagi program Knowledge For Change (K4C) UNESCO iaitu program  penyelidikan Berasaskan Komuniti kepada semua ahli akademik, pemimpin pendidikan tinggi, dan pemimpin badan-badan sosial di seluruh Asia.

Universiti lain yang dianugerahkan status Pusat Latihan Serantau K4C adalah University of Limerick, Ireland bagi rantau Eropah, Gulu University, Uganda bagi rantau Afrika, Universidad de Ibague’, Colombia bagi rantau Amerika Selatan, dan University of Victoria (UVic), Kanada bagi rantau Amerika Utara.

Program UNESCO K4C ini telah diadakan sejak tahun 2019 dengan kerjasama Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (IYCKL) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

USIM dan IYCKL juga telah menganjurkan UNESCO K4C International Residency pada tahun 2022 bagi melatih generasi  baru penyelidik dan pemimpin komuniti dengan menggunakan kerangka program penyelidikan berasaskan penyertaan komuniti yang dibangunkan oleh UNESCO.

Prof. Dr. Mahazan Abdul Mutalib, penyelaras UNESCO K4C bagi rantau Asia  berkata komitmen USIM terhadap UNESCO K4C bermula pada awal 2016 melalui penubuhan Pusat Penyelidikan Mizan USIM.

“Antara projek-projek yang telah dijalankan USIM menerusi program K4C ini ialah perkongsian ilmu belia orang asli Negeri Sembilan dan penganjuran UNESCO International Residency pada tahun 2022. Terkini USIM memiliki 11 mentor UNESCO K4C dan telah membina Kerjasama erat dengan agensi-agensi sosial di Malaysia. USIM juga telah terlibat dengan projek penyelidikan UNESCO K4C sejak 2016 lagi menerusi latihan dan program yang dijalankan di Uganda, Tanzania, Kenya, India, dan Amerika Syarikat,” tambah beliau.

Ujarnya lagi, projek UNESCO K4C terbina berasaskan kerjasama erat antara universiti dan organisasi awam dalam usaha menghasilkan pengetahuan bersama bagi menangani cabaran masyarakat tempatan.

“Konsortium UNESCO K4C telah menubuhkan lebih daripada 30 hab dan melatih lebih daripada 10,000 penyelidik komuniti di seluruh dunia”.

Prof. Dr. Mahazan berkata lagi, sebagai hab UNESCO, USIM akan menawarkan program sijil pementoran UNESCO K4C secara tahunan.  Program Latihan Pementoran (MTP) K4C yang dijalankan selama 21 minggu untuk Rantau Asia yang pertama akan berlangsung bermula dari 26 Ogos hingga 2 Disember 2024 ini.

Latihan ini akan disertai oleh ahli akademik dan pemimpin sosial yang berpengalaman luas dari Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia, Thailand, Kemboja, Korea Selatan, dan Taiwan.

Pihak USIM mensasarkan lebih ramai peserta akan menyertai program ini diseluruh Asia yang akan menggalakkan pendaftaran hab UNESCO K4C Asia baharu.