NILAI, 3 SEPTEMBER 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ingin mempelopori pembinaan satu modul ujian penguasaan Bahasa Arab bagi bukan penutur jati yang diiktiraf diperingkat antarabangsa seperti Test of English as a Foreign Language (TOEFL) dan International English Languange Testing System (IELTS) untuk Bahasa Inggeris.

Melalui modul ujian Bahasa Arab yang seragam, komprehensif dan berkesan, pencapaian sebenar para pelajar dalam menguasai Bahasa Arab dapat dikenalpasti dengan lebih jelas. Ia secara tidak langsung dapat mengukur keberkesanan pembelajaran dan pengajaran Bahasa Arab yang dipelajari di peringkat menengah.

“Justeru itu, USIM ingin menjadi peneraju kepada usaha untuk mewujudkan satu sistem ujian Bahasa Arab yang diiktiraf antarabangsa. Kita mencadangkan nama ujian ini sebagai Malaysian University Arabic Test (MUAT).”

“Sebagai langkah awal merealisasikan idea MUAT ini, diperingkat USIM telah mula diperkenalkan pada tahun ini Ujian Kompetensi Bahasa Arab (Imtihan Kafaah Lughatul Arabiyyah) atau singkatannya IKLA.”

“Seramai 1915 orang pelajar baharu Sarjana Muda Sesi Akademik 2015/2016 yang mendaftar pada semalam menjadi kumpulan sulung menduduki IKLA pada hari. Modul ujian yang dihasilkan oleh Fakulti Pengajian Bahasa Utama mencakupi aspek Pemahaman, Nahu (syntax), Sarf (morphology), Mufradat (kosa kata) dan Uslub (gaya bahasa).”

“Pada masa kini, bagi penilaian kompetensi Bahasa Inggeris di peringkat nasional, Kerajaan telah memperkenalkan Malaysian University English Test (MUET) manakala bagi pelajar sekolah Aliran Agama, kompetensi penguasaan Bahasa Arab belum dapat disetarakan dengan sebarang ujian khas seperti MUET, TOEFL dan IELTS.” ujar Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, Prof Dr. Zulkiple Abd Ghani.

“Sebagai universiti yang menetapkan syarat mengambil Bahasa Arab diperingkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai salah-satu syarat wajib bagi permohonan melanjutkan pengajian Sarjana Muda, saringan awal yang inklusif seperti ini terhadap penguasaan Bahasa Arab amat penting. Ia bertujuan mengukur tahap kompetensi sebenar pelajar dalam penguasaan Bahara Arab dengan penilaian yang diberikan ialah biasa, sederhana dan cemerlang.”

Rangka tindakan ke arah penghasilan MUAT ini memerlukan masa yang panjang kerana ia sesuatu yang baharu dalam penilaian Bahasa Arab diperingkat antarabangsa. IKLA adalah langkah pertama USIM dan seterusnya ia memerlukan kepada kajian dan dan kerjasama dipelbagai peringkat termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi.

Melalui MUAT ini kelak, ia secara tidak langsung memberi kemudahan kepada para pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian ke universiti di Timur Tengah. Misalnya kini, bagi pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia yang ingin ke Universiti Al-Azhar mereka perlu mengambil satu ujian khas Bahasa Arab (Imtihan Qabul) di Malaysia dan perlu melepasi tahap ditetapkan untuk diterima masuk ke Al-Azhar.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204