Putrajaya, 7 Januari 2010 – Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia telah melantik Menteri Kabinet sebagai Menteri Mentor bagi semua 20 IPTA untuk merapatkan lagi hubungan baik Universiti dan Menteri Kabinet. Peranan Menteri Mentor menjadi satu anjakan paradigma baru dalam usaha Kementerian Pengajian Tinggi membangun kualiti pengajian tinggi khususnya di IPTA.

Saranan dan hasrat ini disambut baik oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mengadakan pertemuan dengan  Y.B. Senator Mejar Jeneral (B) Dato’ Jamil Khir bin Baharom selaku Menteri Mentor USIM.

Pertemuan yang diadakan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dihadiri oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda serta Ahli Majlis Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia. Turut hadir dalam pertemuan ini Setiausaha Politik Y.B Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Y.B Haji Sahbudin bin Haji Yahaya.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr Muhamad Muda berkata, pertemuan ini diatur untuk membolehkan USIM beramah mesra dengan Menteri Mentor sekali gus membentangkan Key Result Areas (KRAs) dan aktiviti yang akan dijalankan di USIM sepanjang tahun 2010.

Y.B. Senator Mejar Jeneral (B) Dato’ Jamil Khir bin Baharom dalam ucapannya berkata, beliau menyambut baik peranan yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan bersedia untuk membantu serta memberi idea kepada pembangunan fizikal dan intelektual di USIM.

Menurutnya, “USIM berpotensi besar dalam melahirkan pendakwah dan tokoh agama berwibawa untuk merancakkan arena dakwah di Malaysia khususnya. Permintaan tenaga kerja yang berlatarbelakang pengajian Islam sangat diperlukan di Malaysia seperti di institusi perbankan, kewangan Islam dan institusi dakwah”.

Selain itu, beliau juga menyatakan hasrat untuk bertemu dengan pemimpin mahasiswa dan seluruh mahasiswa USIM disamping beramah mesra dengan mereka.

Tambah beliau “Alam mahasiswa adalah alam yang penuh dengan cabaran untuk  meningkatkan daya fikir intelektual, mencari identiti diri dan merencana masa depan. Justeru, pegangan agama dan jati diri menjadi benteng ampuh dari pelbagai cabaran dunia tanpa sempadan”.

USIM juga telah mengatur beberapa program dan aktiviti bersama Menteri Mentor yang turut melibatkan pelajar dan kakitangan USIM seperti Perhimpunan bulanan USIM, sambutan 10 Tahun USIM, Sambutan Maulidur Rasul dan banyak lagi.

Oleh :
Mohd Hariri Mohamad daud
Penolong Pendaftar Unit Perhubungan Awam
hariri@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028