PULAU PINANG, 27 Julai – Persediaan mencabar selama seminggu untuk memantapkan kualiti hafazan dan bacaan Al-Quran oleh Saudara Essam Ahmad Lali, pelajar Sarjana Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berbaloi apabila muncul Johan Hafazan Al-Quran peringkat ASEAN baru-baru ini.

Pertandingan ini merupakan salah satu kategori yang dipertandingkan sempena 2nd ASEAN Postgraduate Al-Quran Competition yang berlangsung di Kompleks Cahaya, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang adalah anjuran Persatuan Pelajar Pascasiswazah USM dengan kerjasama Pusat Islam USM.

Para peserta yang merupakan pelajar pascasiswazah dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serantau seperti dari Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei Darussalam dan tuan rumah Malaysia di uji kemampuan hafazan mereka bermula dari juzuk 25 sehingga 30.

Saudara Essam Ahmad Lali yang berasal dari Libya menerima hadiah wang tunai RM 1000.00, piala dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM.

Rakannya yang turut berasal dari Libya, Saudara Abdurahman Husain, pelajar Ph.D Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) telah mendapat tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai RM 800.00, piala dan sijil penghargaan.

Menurut Saudara Lawal Saadu, Pengerusi Persatuan Pelajar Antarabangsa USIM, penganjuran pertandingan seperti ini memberi ruang kepada para pelajar antarabangsa untuk memberi sumbangan kepada IPT masing-masing di samping menambah kenalan yang datang dari pelbagai negara.

Pertandingan 2nd ASEAN Postgraduate Al-Quran Competition yang memasuki tahun kedua penganjuran diadakan bertujuan untuk mempromosikan dan membudayakan pembacaan Al-Quran yang terbaik di samping mewujudkan jaringan kerjasama yang aktif dalam berkongsi pengetahuan dikalangan IPT dan peserta yang terlibat. Selain pertandingan hafazan, turut diadakan pertandingan Tilawah Al-Quran.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman

Penolong Pendaftar StraComm