Putrajaya, 24 November 2009 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah muncul sebagai juara keseluruhan Pertandingan Laman Web Tahun 2009 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.  USIM juga telah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Laman Web kategori Institusi Pengajian tinggi Awam (IPTA) mendahului 19 IPTA yang lain. Tempat kedua dimenangi oleh Universiti Malaysia Perlis (Unimap) manakala tempat ketiga dimenangi oleh Universiti Putra Malaysai (UPM).

Kemenangan ini merupakan kali kedua buat USIM di mana pada tahun 2008, USIM telah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Laman Web kategori IPTA. Pada tahun ini USIM berjaya mengekalkan kedudukannya di tempat pertama dan menjadi juara keseluruhan hasil kerja keras Jawatankuasa Laman Web USIM yang bertungkus lumus menyumbangkan idea dan tenaga dalam proses penyediaan laman web.

Proses penilaian bagi Pertandingan Laman Web Tahun 2009 Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah diadakan pada bulan Mei yang lalu  dan sebanyak 5 kategori telah dipertandingkan. Kategori-kategori tersebut adalah KPT/Jabatan/Agensi di bawahnya, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Y.B Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin yang sekaligus merasmikan Hari Inovasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2009 di sini hari ini.

Dalam ucapan Y.B Dato’ Seri Menteri, beliau memaklumkan bahawa Sambutan Hari Inovasi adalah merupakan saranan dari Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang meminta agar Hari Kualiti ditukar kepada Hari Inovasi.

“Inovasi adalah merupakan elemen yang penting dalam memastikan perkhidmatan yang cemerlang. Ianya perlu diterapkan kepada semua warga KPT di pelbagai peringkat, jabatan dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terutamanya dalam cara berfikir dan tindakan agar relevan dengan dunia semasa”, tambah beliau lagi.

Turut hadir mewakili USIM di Majlis Hari Inovasi KPT 2009 adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM, Prof Dato’ Dr. Muhammad Muda, Pengarah Pusat Pengurusan Ilmu dan Teknologi Maklumat (PPITM), Dr. Kamaruddin Sa’adan dan Pengarah Pusat Perkembangan Strategik dan Hubungan Korporat (PPSHK), Puan Putri Saniah Megat Abd Rahman.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028