NILAI, 11 Disember 2022 – Bersempena sambutan Hari OKU Sedunia, seramai 22 peserta dalam kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) Pembelajaran, Penglihatan dan Pendengaran mempersembahkan bacaan ayat Al-Quran secara Bahasa Isyarat dalam satu Majlis Khatam Quran OKU 2022 bertempat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Majlis anjuran Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah sinergi bersama Sekretariat Sahabat FAQEH USIM (SaF@USIM) ini disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dr. Hj. Norakyairee Mohd Raus, Pengarah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum USIM berkata, majlis Khatam Quran yang julung kalinya diadakan ini merupakan kemuncak program bersempena sambutan Hari OKU Sedunia. Ia memperlihatkan usaha meraikan kepelbagaian kategori OKU dan potensi mereka dalam membaca Quran. Contohnya para peserta dari OKU Penglihatan membaca Quran menggunakan kaedah Mashaf Quran Braille, OKU Pendengaran pula menggunakan Isyarat Kod Tangan Quran, manakala OKU Pembelajaran ada diantara mereka yang mampu bersuara namun tersekat-sekat bacaannya dan susah menyebut kalimahnya, tetapi tetap berusaha membaca semampunya. Ada juga dalam kalangan mereka hanya membaca dengan bantuan kekuatan audio dan visualnya dibantu Quran Digital.
“Sepanjang sambutan Hari OKU Sedunia, pelbagai program yang telah dijalankan antaranya Pertandingan Penulisan Teks Khutbah Jumaat, Program Online Tadarus Tanpa Suara (TTS), dan Kursus Dakwah Tanpa Suara (KDTS)”, ujarnya lagi.
Majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan ‘kempen InfaQuran’ bernilai RM20,000.00 oleh Tuan Haji Ahmad Rasyid Haji Ismail, Yang DiPertua Pertubuhan Pendidikan Islam Kanak-Kanak Kelainan Upaya Malaysia (PI3KUM) kepada Pengerusi Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (FAQEH), Dr. Syar Meeze Mohd Rashid. Turut hadir, Naib Canselor USIM, Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff, dan Pengarah Pusat Islam USIM, Dr. Asharaf Mohd Ramli.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan