ISTANBUL – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melakar sejarah dalam agenda pengantarabangsaan Universiti apabila buat julung kalinya menyertai Eurasia Higher Education Summit ke-10 (EURIE) 2025 selama tiga hari bertempat di Istanbul, Turkiye baru-baru ini. Penyertaan USIM bersama 9 lagi institusi pengajian tinggi Malaysia di bawah sayap Education Malaysia Global Services (EMGS) telah membuka mata banyak institusi pengajian tinggi Turkiye dan rantau Eropah yang menyertai EURIE 2025 kali ini.

Penyertaan USIM dalam EURIE 2025 nyata membuahkan hasil apabila berjaya menyerlahkan keterlihatan universiti ini sebagai institusi pendidikan tinggi Malaysia yang memartabatkan pendidikan berteraskan ilmu Naqli dan Aqli di persada antarabangsa.

Dalam tempoh tiga hari USIM berkampung di EURIE 2025 pada 7 hingga 10 April 2025, USIM berjaya menerokai kerjasama strategik dengan 14 buah institusi dari Turkiye, Poland dan Pakistan yang telah menunjukkan minat untuk menjalin hubungan dalam pelbagai bidang akademik seperti program Erasmus+ yang melibatkan mobiliti pelajar dan staf, geran sepadan, dan penerbitan akademik bersama. Peluang terbuka luas buat USIM apabila berjaya menarik minat institusi seperti Istanbul University, Marmara University, dan Uskudar University yang merupakan antara universiti terkemuka di Turkiye.

Delegasi USIM yang diketuai oleh Pengarah Pejabat Antarabangsa, USIM Alamiyyah, Dr Sofia Hayati Yusoff, turut mengambil peluang untuk mempromosikan kekuatan akademik USIM yang berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli kepada lebih 300 delegasi dari pelbagai institusi dan agensi pendidikan tinggi antarabangsa yang menghadiri persidangan tersebut.

Selain pameran fizikal di reruai Malaysia yang diselia EMGS, USIM turut mengadakan beberapa sesi perbincangan dua hala dan networking meetings yang bersifat strategik. Antara pencapaian signifikan ialah menandatangani dokumen Letter of Intent (LoI) dan persetujuan menandatangani Memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa buah universiti yang berpotensi dan berminat untuk kerjasama jangka panjang, termasuk dalam bidang penyelidikan bersama, penganjuran persidangan antarabangsa, dan pertukaran pelajar serta staf akademik bersama USIM.

Kehadiran USIM di EURIE 2025 juga telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengetengahkan peranan universiti ini sebagai pusat kecemerlangan pendidikan Islam bertaraf dunia. Antara aspek yang diketengahkan termasuklah program pengajian Islam berteraskan teknologi, penyelidikan dalam bidang maqasid syariah dan kewangan Islam, serta pembangunan aplikasi pintar dalam dakwah digital.

Turut mendapat perhatian ialah inisiatif USIM dalam memupuk hubungan antara budaya dan agama melalui program mobiliti pelajar antarabangsa, serta komitmen universiti terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam pendidikan berkualiti dan kerjasama global.

Menurut Dr Sofia Hayati Yusoff, penyertaan ini bukan sekadar pendedahan kepada jaringan antarabangsa, tetapi merupakan langkah strategik USIM dalam memperkukuh kedudukannya dalam landskap pendidikan global.

“EURIE bukan sahaja membuka pintu kerjasama, malah memberi ruang kepada USIM untuk menyampaikan naratif pendidikan Islam kontemporari kepada dunia dalam acuan yang progresif dan inklusif,” ujar beliau.

Dengan kejayaan ini, USIM optimis untuk terus memperluas jalinan antarabangsa, seiring dengan Pelan Strategik USIM 2022-2025 yang memberi penekanan kepada aspek pengantarabangsaan, kualiti penyelidikan dan kebolehpasaran graduan di peringkat global.