NILAI, 4 Januari 2022 -Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melanjutkan tarikh permohonan kemasukan program Sarjana Muda Ambilan Mac sesi akademik 2021/2022 sehingga Jumaat ini 7 Januari 2022. Terdahulu, Pusat Pemasaran dan kemasukan Pelajar (PPKP) USIM telah mengiklankan permohonan kemasukan ini pada awal Disember lepas.

Sebanyak 12 program ditawarkan iaitu program Sarjana Muda Da’wah & Pengurusan Islam dengan Kepujian, Sarjana Muda Pengajian Akidah & Agama dengan Kepujian, Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian, Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dengan Kepujian, Sarjana Muda Pengajian Qiraat dengan Kepujian, Sarjana Muda Pengajian Quran & Sunnah dengan Kepujian, Sarjana Muda Pengajian Quran dengan Multimedia dengan Kepujian, Sarjana Muda Pengajian Sunnah dengan Pengurusan Maklumat dengan Kepujian, Sarjana Muda Fiqh & Fatwa dengan Kepujian, Sarjana Muda Syariah (Industri Halal) dengan Kepujian, Sarjana Muda Undang-Undang & Syariah dengan Kepujian dan Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan & Jaminan Maklumat).

Justeru, pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Matrikulasi, Diploma dan setarafnya yang memenuhi syarat untuk kemasukan ke USIM boleh melayari laman web Pusat Pemasaran dan kemasukan Pelajar (PPKP) iaitu https://admission.usim.edu.my atau menghubungi PPKP di talian 06-7988057 atau 06-07978626 atau emelkan pertanyaan kepada admission@usim.edu.my atau ug@usim.edu.my. Yuran proses dikenakan hanya RM100.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Pemasaran dan kemasukan Pelajar (PPKP), pengambilan kedua ini mengambil kira pelajar STAM yang tertangguh untuk menyambung pengajian peringkat Sarjana Muda di luar negara seperti Mesir, Jordan dan sebagainya disebabkan Standard of Procedure (SOP) Pandemik Covid-19. USIM sentiasa memberi peluang kepada pelajar terutama dalam aliran agama untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan