KOTA KINABALU, 27 Mac 2023 – Sahibus Samahah Datuk Dr. Ustaz Hj. Bungsu @ Aziz bin Haji Jaafar, Mufti Kerajaan Negeri Sabah, dilantik sebagai Felo Budi di Institut Sains Islam (ISI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk tempoh dua tahun bermula Mac 2023 sehingga 28 Februari 2025.

Surat pelantikan beliau sebagai Felo Budi telah diserahkan oleh Dato’ Muhammad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM di Balai Cerap al-Biruni, Tanjung Dumpil Putatan, Sabah bersempena dengan Program Pelancaran Majlis Rukyah Hilal Rasmi dan Ramadan peringkat Negeri Sabah baru-baru ini.

Menurut Dato’ Muhammad Haizuan pelantikan ini dibuat bertepatan dengan hasrat USIM untuk menjadi sebuah universiti sains Islam glokal dan mampu memberdayakan perkongsian dua hala antara USIM dengan Kerajaan Negeri Sabah, Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) dan masyarakat Sabah dalam bidang dakwah dan pemerkasaan masyarakat Islam dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum.

“Ini juga merupakan satu pengiktirafan buat USIM mengambil kira kewibawaan dan keilmuan beliau dalam hal ehwal Islam bukan sahaja di Negeri Sabah, tetapi juga di peringkat nasional. Selaras dengan lantikan ini, Datuk Dr. Ustaz Hj. Bungsu akan terlibat dengan aktiviti akademik termasuklah menyampaikan syarahan umum serta melaksanakan kerja-kerja ilmiah dengan ahli-ahli akademik yang akan memberi faedah kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Islam di negara ini,”

“Sepanjang di ISI nanti beliau akan membicarakan tentang kearifan local (local wisdom) kepimpinan Islam tempatan secara ilmiah. Hal-hal yang menjadi kepentingan dalam pemikiran beliau juga akan di wacana serta dibahaskan oleh para akademik dan ilmuan Islam Sabah di USIM.” Jelas beliau lagi.

Keterlibatan (engagement) dengan tokoh dan ilmuwan Islam Sabah adalah merupakan salah satu inisiatif di bawah program friends of Borneo yang di perkenalkan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dan pihak USIM amat berbesar hati dengan pelantikan ini serta menghargai kesediaan beliau untuk menjadikan Universiti ini sebagai platform kepada Kajian Kecemerlangan Islam di Sabah khususnya.

 

Disediakan oleh:
Nor Fadzlina Azahari
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan