NILAI – Sempena sambutan Hari Warga Emas Sedunia yang diraikan setiap tahun pada 1 Oktober, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Karnival Sihat Madani 2024 dengan menghimpunkan kira-kira 300 peserta dari kalangan warga emas setempat sebagai acara kemuncak bagi Program Kesejahteraan Holistik di Usia Emas. Program ini merupakan salah satu inisiatif di bawah projek Komuniti@UniMADANI yang dibiayai oleh geran Kementerian Kewangan Malaysia.
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Prof Dato’ Dr Muhammad Tauffik Mohd Noor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi) USIM bertempat di Dewan fakulti Pengajian Bahasa Utama pada 5 Oktober 2024.
Program ini bertujuan mempromosi kesejahteraan fizikal, mental, dan spiritual warga emas melalui pelbagai aktiviti. Dengan tema Membudayakan Kesejahteraan Warga Emas, karnival ini menyaksikan pelaksanaan empat sub-projek utama yang memberi manfaat langsung kepada warga emas, termasuk Projek Afiyah Ageing oleh FPSK, Projek Saringan Kesihatan Pergigian dan Gigi Palsu Ekspress oleh FPg dan Program Bersahabat Dengan Al-Quran oleh FPQS.
Prof Dato’ Dr Muhammad Tauffik Mohd Noor dalam ucapan perasmiannya berkata, Malaysia sedang menuju ke arah sebuah negara tua atau aged nation. Menjelang tahun 2030, lebih daripada 15% penduduk negara ini akan terdiri daripada individu berusia 60 tahun ke atas. Perubahan demografi ini membawa peluang dan cabaran tersendiri. Ia menekankan betapa pentingnya kita perlu memastikan golongan warga emas kekal sihat, aktif, dan terus terlibat dalam masyarakat.
“Selaras dengan komitmen kerajaan dalam menyokong kesejahteraan warga emas, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan. Dasar Warga Emas Negara bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong penuaan sihat, termasuk akses kepada penjagaan kesihatan, pembelajaran sepanjang hayat, dan peluang untuk terus aktif dalam Masyarakat”.
Ujarnya lagi, Jabatan Kesihatan Negeri di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia telah banyak memainkan peranan dalam saringan kesihatan di komuniti dan memberikan perkhidmatan kesihatan di pusat-pusat kesihatan.
Karnival ini dianjurkan dengan kerjasama Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI), Fakulti Pergigian (FPg), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS), serta Pertubuhan Aktiviti Warga Emas (PAWE), Nilai.
Antara projek yang telah berjaya dilaksanakan sebelum ini ialah Projek Gigi Palsu Ekspress yang diadakan pada 30 Ogos 2024 dan 6 September 2024 lalu, memberi manfaat kepada 68 warga emas yang menerima rawatan pergigian percuma. Selain itu, Program Bersahabat Dengan Al-Quran yang diadakan pada 9, 11, dan 13 September 2024, berjaya memperkasakan daya spiritual 55 peserta melalui terapi berasaskan ilmu naqli dan aqli.
Pada kemuncak program ini, warga emas berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti saringan kesihatan fizikal dan mental, konsultasi pemakanan, sukaneka, dan klinik tahsin al-Fathihah. FPg turut mempamerkan fasiliti Klinik Pergigian Bergerak (KPB) dan Makmal Pergigian Bergerak (MPB), memperkenalkan teknologi pergigian terkini kepada masyarakat.
Turut hadir pada majlis ini ialah wakil Kementerian Kewangan Malaysia, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan.
Sumber: Prof. Madya Dr Norlela Yacob