PUTRAJAYA – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menandatangani 25 Memorandum Persefahaman (MoU) dengan universiti-universiti di Asia Barat dalam meluaskan lagi jaringan kerjasama antarabangsa disamping memperkukuhkan lagi hubungan sesama universiti-universiti tersebut.

Majlis menandatangani MoU itu diadakan bersempena dengan Persidangan ”Arab-Malaysian Global Higher Education Summit 2012 (AMGHE SUMMIT 2012)” yang di adakan di Hotel Marriott, Putrajaya pada 4-5 Oktober baru-baru ini.

Universiti-universiti yang terlibat adalah Peace University Sudan, Open University Sudan, Al Neelain University Sudan, University of Gezira Sudan, Nile Valley University Sudan, Al Zaiem Al Azhari University Sudan, Al-Azhar University Gaza Palestine, Hebron University Palestine, Islamic University of Gaza Palestine, Al Aqsa University Gaza Palestine, Menoufia University Egypt, Nahda University EgyptAin Shams University Egypt, Future University Egypt, The World Islamic Sciences and University Jordan, Jerash University Jordan, Petra University Jordan, Royal University for Medical Sciences Jordan, Princess Sumaya University for Technology Jordan, IBB University Yemen, University of Science & Tecnology Yemen, Global University Beirut Lebanon, Islamic University of Lebanon, University of Mosul Iraq dan International Institution of Islamic Waqaf.

Melalui perjanjian yang ditandatangani bersama itu, USIM dan universiti-universiti yang terbabit akan bekerjasama dalam bidang-bidang berkaitan penyelidikan bersama, pertukaran penyelidik, pertukaran staf, pertukaran pelajar dan kerjasama-kerjasama lain yang dipersetujui bersama.

Majlis penuh bersejarah itu turut disaksikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), YBhg. Profesor Dato’ Dr. Rujhan Mustafa. Beliau yang mewakili Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, YBhg. Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin hadir bagi merasmikan  persidangan yang julung-julung kali diadakan ini.

Rujhan semasa membacakan teks ucapan YB Menteri KPT,menyatakan penganjuran seminar yang cukup signifikan dengan matlamat meperkukuhkan peranan dan keupayaan sektor pengajian tinggi yang menjadi antara penyumbang kritikal dalam menjayakan transformasi negara masing-masing ini akan terus diberikan sokongan dan perhatian oleh pihak Kerajaan.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa setiap kerajaan di dunia ini amat komited dalam soal pendidikan.

“Di Malaysia, pada tahun 2012, kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar sebanyak 50.1 bilion ringgit untuk sektor pendidikan atau 21.6% daripada keseluruhan bajet.” Ujar beliau.

Penganjuran AMGHE SUMMIT 2012 merupakan inisiatif bersama antara USIM dan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) Kementerian Pengajian Tinggi dalam menyokong hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini disamping mengukuhkan hubungan dengan universiti-universiti terkemuka Arab.

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut Setiausaha Agung Asean, Dr. Surin Pitsuwan; Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, YBhg Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin; Pengerusi Lembaga Penasihat AKEPT, YBhg. Tan Sri Dato’ Dr. Wan Mohd Zahid bin Mohd Noordin;  Naib Canselor USIM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda dan Pengarah AKEPT,  YBhg. Datuk Profesor Dr. Rodziah Omar

Dengan bertemakan “Leadership in the Islamic Higher Education Institutions in the Era of Globalization”, AMGHE SUMMIT 2012 berjaya menghimpunkan lebih 60 peneraju universiti-universiti dari Negara timur tengah itu.

Ucaptama persidangan telah disampaikan oleh Profesor Ulung, YBhg. Tan Sri Profesor Dr. Mohd Kamal Hassan dan  Setiausaha Agung AARU (Association of Arab Universities)  YBhg. Profesor Sultan Abu-Orabi Aladwan.

Selain dari ucaptama dan pembentangan kertas kerja, AMGHE SUMMIT 2012 turut mengadakan Pameran Pendidikan dan Perbincangan Meja Bulat yang melibatkan peneraju utama universiti-universiti yang hadir bagi membincangkan isu-isu berkaitan pendidikan tinggi masa kini.

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa