NILAI, 25 Mei 2021 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghadkan kapasiti setiap jabatan tidak melebihi 20% bilangan staf Pusat Tanggungjawab pada satu-satu masa melainkan Jabatan Keselamatan, Pusat Kesihatan Universiti, Pusat Perumahan Pelajar, dan Bahagian Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Menurut Naib Canselor  Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin, susulan pengumuman YB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan pada 22 Mei lalu tentang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan diseluruh negara, semua staf akademik dan bukan akademik termasuk tetap, sementara, kontrak dan sambilan disarankan meneruskan tugasan secara Bekerja Dari Rumah (BDR).

Dato Ridza berkata lagi, sepanjang tempoh perintah ini dikuatkuasakan, staf hendaklah patuhi tindakan-tindakan seperti yang dilaksanakan sebelum ini iaitu saringan kendiri secara dalam talian di portal iStaff untuk rujukan dan pemantauan Ketua Pusat Tanggungjawab dan Pusat Kesihatan Universiti.

“Membenarkan suhu badan diperiksa oleh petugas kesihatan setiap kali memasuki pintu masuk kampus, meneruskan Langkah-langkah pencegahan COVID-19 sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia terutamanya pengamalan kebersihan diri, penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan pemeriksaan suhu badan”.

“Staf juga diingatkan supaya tidak hadir dan berada dalam Kawasan kampus serta perlu mendapatkan rawatan dengan segera di fasiliti kesihatan yang berdekatan sekiranya mempunyai sebarang gejala dan meneruskan tugasan secara BDR serta mengekalkan keberadaan di rumah dan mengelakkan daripada urusan tidak rasmi sepanjang tempoh tersebut”,jelasnya.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan