KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengukuhkan pencapaian cemerlang apabila diiktiraf sebagai peneraju kebolehpasaran graduan menerusi empat program pengajian dalam Talentbank Graduate Employability Index 2026 pada 11 April 2026 baru-baru ini.

Pengiktirafan oleh Talentbank ini adalah berdasarkan dapatan komprehensif kajian nasional yang menilai maklum balas serta validasi majikan sebenar di Malaysia, sekali gus memperlihatkan USIM sebagai antara institusi yang konsisten melahirkan graduan berkualiti tinggi dan menjadi pilihan industri.

Empat program pengajian USIM yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Sains Aktuari (Fakulti Sains dan Teknologi), Perbankan (Fakulti Ekonomi dan Muamalat), Kaunseling (Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan) serta Pergigian (Fakulti Pergigian).

Pengiktirafan ini mencerminkan tahap keyakinan tinggi industri terhadap kualiti graduan universiti ini, khususnya dari aspek kesediaan memasuki alam pekerjaan, kompetensi profesional, prestasi di tempat kerja serta kecenderungan majikan untuk membuat pengambilan berulang hasil pengalaman positif bersama graduan USIM.

“Ia memperlihatkan keupayaan USIM dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berkualiti serta berdaya saing dalam dunia pekerjaan, dan seterusnya mengukuhkan kedudukan USIM sebagai institusi pendidikan tinggi yang relevan, diyakini industri serta komited dalam melahirkan graduan holistik bagi memenuhi keperluan masa hadapan negara,” ujar YBrs. Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM.

Majlis penganugerahan berlangsung di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, YBrs. Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah bersama wakil Pusat Kerjaya dan Alumni, Encik Mohd Hazrul Fareeza Harun yang kini menjalankan fungsi Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni.

Oleh: Syazlyna Jamil