Nilai, 17 Ogos 2011 – Seramai 40 anak yatim dari Yayasan Anak Yatim Piatu Islam Daerah Port Dickson menerima bantuan sempena ketibaan Aidilfitri ini daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada majlis yang diadakan di Kolej Kediaman 1, USIM.

Program bercirikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dianjurkan oleh Badan Kebajikan Kakitangan USIM dengan kerjasama Jawatankuasa Pusat Islam USIM, Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas USIM (PRAGMATIS);  Kesatuan Kakitangan Sokongan USIM (KUSIMA), dan Kelab Setiausaha USIM (KSU).

Bantuan serta sumbangan duit raya termasuk barang keperluan dapur itu disampaikan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhammad Muda.

Anak-anak yatim dari rumah kebajikan tersebut turut diraikan dengan majlis berbuka puasa diikuti dengan solat Maghrib, Isyak dan Terawih secara berjemaah.

Pada majlis yang sama, seramai 30 orang saudara baru dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) turut diraikan serta menerima sumbangan hamper.

Antara objektif program adalah bertujuan menzahirkan rasa kesyukuran terhadap Allah dengan mengagih-agihkan rezeki yang dikurniakan kepada golongan yang memerlukan. Di samping itu, program sebegini merupakan sebahagian aktiviti kebajikan warga universiti kepada masyarakat.

Oleh:
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia