NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyerahkan simbolik kutipan dana zakat dan wakaf berjumlah RM2,559,291.68 dan RM181,607.23 kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) pada Majlis Santapan Konvokesyen ke-23 USIM, Sidang Canselor yang berlangsung pada 25 November 2025. Jumlah berkenaan merupakan kutipan terkumpul sehingga Oktober 2025.
Penyerahan dibuat oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM, kepada wakil MAINS Cawangan Nilai, Puan Azizah Abdul Aziz, dan turut disaksikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Penyerahan ini mencerminkan komitmen USIM melalui Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) dalam memastikan pengurusan dana zakat dan wakaf sentiasa mapan, telus dan memberi manfaat langsung kepada kebajikan warga universiti, khususnya para pelajar. Usaha ini juga selari dengan matlamat USIM untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi turut mampu kembali menyumbang kepada komuniti dan masyarakat setempat.
Majlis turut menyaksikan beberapa penyerahan sumbangan daripada badan-badan korporat kepada PWZ USIM melalui Naib Canselor, yang turut disaksikan oleh Tuanku Canselor. Antara syarikat yang menghulurkan sumbangan ialah Lembaga Tabung Haji (RM750,000), Maybank Islamic Berhad (RM283,000), Dana Asy Syakirin (RM200,000) dan PLUS Malaysia Berhad (RM100,000).
Sumbangan tersebut akan dimanfaatkan bagi memperkukuh pelbagai program kebajikan, pembangunan pendidikan serta inisiatif di bawah PWZ seperti bantuan biasiswa, bantuan yuran pengajian dan sara hidup, bantuan awal pengajian, bantuan perubatan, penyediaan kemudahan pelajar serta bantuan makanan dan keperluan asas.
Dalam memastikan kutipan zakat terus meningkat, PWZ sentiasa menggerakkan pelbagai inisiatif seperti hebahan berkala melalui e-mel, sesi penerangan dan lawatan ke fakulti bagi memberi kefahaman tentang kepentingan berzakat serta kemudahan potongan gaji bulanan kepada warga USIM. Dana zakat yang diserahkan kepada MAINS akan diagihkan semula melalui mekanisme wakalah untuk disalurkan kepada golongan penerima manfaat di USIM.
USIM merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik korporat yang sentiasa menyokong usaha kebajikan universiti.
“USIM amat menghargai kepercayaan badan-badan korporat yang memilih pelajar USIM sebagai sebahagian daripada penerima manfaat. Adalah menjadi harapan besar universiti agar hubungan ini dapat diteruskan dengan lebih sinergi pada masa hadapan,” ujar Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.



