PUTRAJAYA – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) komited dalam menyokong inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Awam Malaysia bagi memperluaskan akses terbuka terhadap tesis dan disertasi akademik, yang dilancarkan dalam satu majlis rasmi di Hotel Marriott Putrajaya, 13 Februari 2025 baru-baru ini.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) ini turut disertai oleh wakil Jawatankuasa Naib-naib Canselor dan Rektor Universiti Awam serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dato’ Dr. Azlinda Azman, dan disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry menekankan kepentingan inisiatif ini dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan negara. “Pelaksanaan akses terbuka terhadap tesis dan disertasi ini adalah satu langkah strategik dalam memastikan ilmu yang dihasilkan oleh penyelidik kita dapat dimanfaatkan secara lebih meluas. Ia juga akan membantu meningkatkan daya saing institusi pendidikan tinggi Malaysia di peringkat global,” katanya.

Bagi menjayakan usaha ini, Jawatankuasa Akses Terbuka Universiti Awam telah ditubuhkan sejak tahun 2019, di bawah Majlis Ketua Pustakawan Universiti Awam (MKPUA) bagi merangka dasar dan garis panduan pelaksanaan. Ketua Pustakawan USIM, Puan Nor Azzah Momin, yang turut menganggotai jawatankuasa tersebut, menyatakan bahawa akses terbuka ini bakal memberi manfaat besar kepada masyarakat di Malaysia dan di seluru dunia.

“Kami melihat inisiatif ini sebagai satu langkah penting dalam mengukuhkan budaya penyelidikan yang lebih inklusif dan berimpak tinggi. Dengan adanya akses terbuka tesis dan disertasi dari USIM dan semua universiti awam di Malaysia, ia dapat dimanfaatkan oleh masyarakat global, sekali gus meningkatkan visibiliti universiti awam dalam,” ujar beliau.

Pendekatan ini akan menggunakan teknologi digital bagi memudahkan penyebaran dan pengurusan bahan ilmiah penyelidikan. Platform Malaysian Thesis Online (MyTO) akan diperkasakan sebagai repositori berpusat di peringkat kebangsaan, membolehkan tesis dan disertasi dari universiti awam, termasuk USIM, diakses secara lebih meluas.

Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan keterlihatan penyelidikan, tetapi juga membuka peluang kolaborasi akademik serta penjanaan pendapatan melalui penambahbaikan tesis dan disertasi. Kerjasama ini selari dengan aspirasi KPT dalam memperkasa pendigitalan perkhidmatan pendidikan tinggi secara bersepadu dan dinamik.

Sebagai institusi yang menekankan integrasi ilmu Naqli dan Aqli (INaQ), USIM melihat usaha ini sebagai satu lonjakan dalam memastikan hasil penyelidikan universiti dapat memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh. Selain dapat menyebarkan kefahaman berkenaan konsep INaQ ini kepada semua.