PUTRAJAYA, 4 April 2015 – Konsep pembelajaran dakwah dan unsur-unsur jati diri dalam hiburan masih dikekalkan USIM Street Dakwah yang meneruskan sesi jelajah mereka buat kali kedua ke Alamanda baru-baru ini.
Menghidangkan hiburan santai melalui konsep pemuzik jalanan (buskers), program anjuran Pusat Kebudayaan USIM ini jelas membuktikan keunikannya berbanding buskers lain dengan mengetengahkan seni muzik islamik di samping mendidik masyarakat terutamanya golongan generasi – Y ke arah kebaikan.
Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan, Ismail Ahmed, pemilihan lagu-lagu yang disampaikan mempunyai unsur nasihat, pedoman dan dalil Al-Quran seiring dengan tema sharing knowledge dan sharing awareness bagi mengamit perhatian pengunjung.
“Menampilkan kepelbagaian genre muzik kali ini sesuai dengan citarasa penonton di sini yang lebih inginkan persembahan yang rilaks dan medium pengajaran yang tidak terlalu berat,” katanya.
“Program kali kedua ini juga merupakan proses penambahbaikan dari segi persembahan dan pengurusan di samping persediaan USIM sempena persembahan Festival Hari Guru Kebangsaan pada 14 hingga 16 Mei dan USIM Street Dakwah Jelajah Kedah yang bakal berlangsung pada 1 hingga 7 Ogos nanti,” tambah beliau lagi ketika ditemuramah di sini.
Sementara itu, menurut salah seorang pengunjung, Mohd Han Adam inisiatif seperti ini menyajikan banyak manfaat kepada masyarakat agar mereka tidak leka dengan hal dunia bahkan boleh menghayati keindahan bait-bait islamik.
Manakala pengunjung yang berasal dari Filipina, Ubaidah, sangat teruja dan terhibur dengan hiburan santai tersebut walaupun tidak memahami bahasa Melayu kerana alunan dan rentak dari alat-alat muzik membantu menghangatkan persembahan.
Selain persembahan nyanyian muzik dari USIM Buskers, terdapat juga penampilan istimewa daripada Siso Kopratasa yang turut dengan menyampaikan dua buah lagu evergreen yang bertajuk Masihkan Kau Ingat dan Bidadari Syurga.
Program yang berlangsung selama dua jam meriah dengan persembahan dikir barat dan nyanyian 10 buah lagu antaranya Hati Emas, Mentera Semerah Padi, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Doa Buat Kekasih, Kepadamu Kekasih, Si Udin Bertanya dan sebuah lagu Arab iaitu Nur El Sham.
Disediakan oleh:
Ejen Berita (EB Nor Adira Maulad dan EB Efrianis Arika Hasibuan Effendi), Pusat Kebudayaan USIM
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik