NILAI, 25 Disember 2021 – Sedih dan pilu Muhammad Hakimi Alif Rahman, penuntut Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melihat rumahnya di Taman Sri Nanding, Hulu Langat Selangor ditelenggami banji besar baru-baru ini yang telah memusnahkan dan merosakkan pelbagai barangan termasuk keperluan pembelajaran beliau.

“Semasa air semakin naik, komputer riba yang saya gunakan selama ini untuk pembelajaran tidak sempat diselamatkan dan hilang di bawa arus banjir. Melihat pelbagai peralatan di dalam rumah musnah dan rosak teruk, memang menyedihkan kami sekeluarga. Alhamdulillah, USIM sentiasa prihatin dengan kebajikan mahasiswanya dan hari ini saya terima komputer riba baharu sebagai ganti”. Ujarnya penuh syukur.

Hakimi merupakan antara lima kumpulan pelajar USIM terawal yang merima sumbangan komputer riba baharu bagi menggantikan komputer riba mereka yang hilang dan rosak kerana bencana banjir. Sumbangan komputer riba ini telah diserahkan oleh wakil Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar pada semalam, Jumaat di kediaman masing-masing di Kuantan, Pahang dan Hulu Langat, Selangor.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailan, USIM mengambil langkah proaktif seperti ini kerana cakna dan prihatin terhadap kejadian bencana banjir luar biasa ini telah merosakkan dan memusnahkan komputer riba yang digunakan mereka dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) sebelum ini.

“Sebagai permulaan, Pengurusan Universiti telah meluluskan perolehan sebanyak 22 buah komputer riba melalui Pusat Wakaf dan Zakat USIM untuk diagihkan segera kepada pelajar yang terkesan”

“Memfokuskan sumbangan kepada pelajar di peringkat Sarjana Muda, penggantian segera komputer riba baharu ini bagi memastikan proses PdP mereka tidak terjejas terutamanya ketika ini proses PdP masih dilaksanakan secara dalam talian akibat penularan pandemik COVID-19” tambahnya.

Sehingga 24 Disember 2021, seramai 119 orang pelajar USIM direkodkan terkesan dengan banjir dan universiti bersedia mempertimbangkan sumbangan tambahan komputer riba sekiranya terdapat keperluan. Selain itu, USIM turut menyelaraskan bentuk bantuan lain kepada pelajar yang terjejas banjir antaranya pembersihan kediaman, bantuan makanan kering, wang tunai, bantuan psikologi dan penginapan sementara di kolej kediaman dan rumah tamu universiti.

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan