NILAI, 26 Januari 2021 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersetuju membuka laluan untuk penulisan tesis menggunakan bahasa Melayu kepada 13 program pasca siswazah bermula 16 Disember 2020. Keputusan yang dipersetujui di Mesyuarat Senat Universiti kali ke 119 Bil 5/2020 itu telah bersetuju untuk cadangan penulisan tesis dalam Bahasa Melayu bagi program-program pengajian di peringkat pasca siswazah secara penyelidikan.

Menurut Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Dr Mohd Ridza Wahiddin berkata, keputusan ini dibuat bagi memenuhi permintaan semasa dan bertujuan untuk meningkatkan jumlah kemasukan pelajar pasca siswazah terutama dari agensi kerajaan, pekerja sepenuh masa dan kumpulan sasaran yang lain.

“Hasrat ini sebenarnya tidak menghilangkan citra USIM sebenar yang juga memperjuangkan penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Ini kerana hanya 13 program (mod penyelidikan) di peringkat pasca siswazah sahaja yang dibenarkan, manakala program akademik yang lain akan kekal dengan peraturan seperti sedia ada,” katanya.

Selain itu, Dekan di Pusat Pengajian Siswazah (PPS) USIM, Prof Dr Mohd Radhi Ibrahim berkata, hasrat tersebut disambut baik dan akan mewujudkan garis panduan baharu kepada bakal pelajar untuk menghasilkan penulisan tesis dengan standard yang akan ditetapkan.

“Saya juga berharap agar bakal pelajar nanti akan memahami dan menghayati garis panduan ini dan sekaligus mendapat kerjasama dari pensyarah atau penyelia untuk membimbing pelajar menghasilkan penulisan ilmiah yang setanding dengan penulisan di peringkat antarabangsa,” katanya.

13 program pasca siswazah yang dibenarkan adalah secara mod penyelidikan iaitu Sarjana Da’wah dan Pengurusan Islam, Sarjana Pengajian Quran & Sunnah, Sarjana Syariah, Sarjana Sains Islam dan Sajana Sains Sosial. Manakala di peringkat Doktor Falsafah ialah Doktor Falsafah Komunikasi, Kaunseling, Da’wah & Pengurusan Islam, Pengurusan Sumber Manusia, Pengajian Quran dan Sunnah, Syariah dan Kehakiman, Sains Islam dan Sains Sosial. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web https://admission.usim.edu.my.

Disediakan oleh:
Dr Fauziah Hassan
Timbalan Pengarah
Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Dikemaskini oleh :
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan